Khazanah Nasional Berhad mengumumkan bahawa Datuk Charon Mokhzani, Pengarah Eksekutif, Pejabat Pengarah Urusan dan Pengarah Urusan Khazanah Research Institute (KRI), akan meninggalkan Khazanah dan KRI pada pertengahan bulan Mei 2018 selepas berkhidmat selama hampir lima tahun.

Sebelum ini, Charon merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB (Deputy Group CEO) selama beberapa tahun.

Beliau juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad.

Pengumuman Charon meninggalkan Khazanah adalah berikutan pengumuman pelantikan baru serta perubahan pada Pasukan Kepimpinan Kanan oleh Khazanah.

Selain ini, Khazanah telah mennaikkan pangkat dua Pengarah Pelaburan mereka.

Amran Hafiz Affifudin dan Bryan Lim, kedua-duanya Pengarah Pelaburan dinaikkan pangkat ke Pengarah Eksekutif Pelaburan, mulai 1 April 2018.

Bryan juga meneruskan peranannya sebagai Ketua Pejabat Serantau Khazanah di Beijing.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Bryan juga menerajui operasi Khazanah di Asia Utara (meliputi China, Jepun dan Korea).

Beliau mengambil alih tugas daripada Datuk Ben Chan, Pengarah Eksekutif, Pelaburan, yang akan meninggalkan Khazanah pada akhir bulan April 2018.


Latar belakang Amran dan Bryan

Pelantikan baharu dan perubahan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berkala yang dilaksanakan oleh Khazanah untuk mengukuhkan pasukan pengurusan kanannya, selari dengan amalan penggantian kepimpinan yang berterusan.

Pada Disember 2017, Khazanah telah mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengarah Urusan.

Amran menyertai Khazanah pada tahun 2011 sebagai Naib Presiden Kanan, Pelaburan. Beliau memulakan kerjaya di Petroliam Nasional Berhad (“PETRONAS”) dalam bidang kewangan korporat dan perbendaharaan.

Amran seterusnya berkecimpung dalam industri ekuiti persendirian di mana beliau telah menyandang pelbagai tugas dan tanggungjawab di beberapa firma. Amran berkelulusan Sarjana Muda Sains bidang Perdagangan, dengan pengkhususan dalam Perakaunan dan Kewangan daripada McIntire School of Commerce di University of Virginia.

Bryan Lim menyertai Khazanah sebagai Penolong Naib Presiden, Pelaburan pada Disember 2005. Sebelum Khazanah, beliau pernah berkhidmat di Ernst & Young, Rating Agency Malaysia Bhd (“RAM”) dan ECM Libra Securities Sdn Bhd.

Bryan memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Program Felo Sloan MIT di Massachusetts Institute of Technology dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan daripada Lincoln University, New Zealand. Beliau juga merupakan Penganalisis Kewangan Bertauliah (“CFA”).