Loob Holdings Sdn Bhd, yang memiliki kedai Chatime bubble tea, telah menjenamakan semula 161 cawangannya kepada 'Tealive' dan rancangan pengembangannya bagi tempoh dua tahun akan datang berada di landasan yang betul.

Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo berkata, dengan langkah penjenamaan semula itu yang menelan kos kurang daripada RM10 juta, semua 161 cawangannya di seluruh negara secara rasmi akan bertukar menjadi 'Tealive' bermula esok.

"Kami juga merancang menambah bilangan cawangan daripada 165 kepada 250 di Malaysia menjelang 2018 serta menambah bilangan pelanggan dari 2.5 juta sebulan kepada lima juta," katanya kepada pemberita selepas prapelancaran 'Tealive' di sini, hari ini.

Pada awalnya Loob memiliki 165 cawangan, katanya.

Bagaimanapun, Loo berkata, 161 cawangan akan beroperasi di bawah jenama baharu itu dan empat lagi tidak akan dijenamakan semula.

Menurutnya, syarikat itu kini akan menumpukan sumbernya bagi menggerak pertumbuhan dengan kekuatan 1,000 pekerjanya yang melayan dua juta pelanggan setiap bulan.

Di peringkat global, beliau berkata, Loob akan memanfaatkan pasaran Vietnam pada suku ketiga tahun ini dan negara-negara Asia lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Syarikat akan membuka lima cawangan 'Tealive' di Vietnam dalam tahun pertama dan kemudiannya akan membuka 20 lagi dalam tahun kedua," katanya.

Beliau berkata syarikat itu merancang mengembangkan operasinya di lebih banyak stesen minyak di seluruh negara, serta stesen transit aliran ringan (LRT) dan stesen transit aliran berkapasiti tinggi (MRT).

Loo berkata syarikat itu tidak bimbang dengan pertikaian antara La Kaffa International Co Ltd dengan Loob dan yakin dapat memenangi semula pelanggannya.

"Kami berbangga untuk melancarkan 'Tealive', jenama yang akan menjadikan minuman teh kembali popular. Hanya enam tahun lepas saya mengendalikan kiosk pertama menyediakan minuman teh bagi rakyat Malaysia dan kini kami akan memperkenalkan budaya teh baharu kepada rakyat Malaysia," katanya.

'Tealive' menawarkan promosi pengenalan satu-untuk-satu, lima jam sehari selama lima hari.

Bagi yang membeli minuman 'Tealive' dari pukul 1 petang hingga 6 petang akan mendapat satu lagi minuman percuma bermula 18 Feb hingga 22 Feb, 2017.

Beliau berkata perjanjian antara La Kaffa dan Loob, yang berakhir sehingga 2041, ditamatkan ekoran syarikat Taiwan itu yang tidak bersetuju dengan hala tuju perniagaan Chatime di Malaysia.

Loob juga akan memulakan prosiding timbang tara terhadap La Kaffa di Singapura dan Loo berkata beliau berhasrat untuk menuntut sebarang kerugian ke atas syarikatnya yang disebabkan oleh penamatan itu.

Menurutnya, semua ramuan yang digunakan adalah halal dan produk yang dijual syarikat itu dalam tempoh enam tahun lepas diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kami mengekalkan pasukan yang sama, kakitangan dan rakan kongsi yang sama, di lokasi cawangan yang sama tetapi kami menjangka pengguna akan mendapati kami kini menggunakan nama yang berbeza, yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA