CIMB Islamic Bank menderma RM1 juta kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) bagi melaksanakan program bantuan di Semenanjung Gaza yang mengalami kemusnahan akibat dilanda konflik.

Pengarah eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abdul Ghani berkata beliau berharap sumbangan itu dapat membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin di kawasan berkenaan.

"Kami amat sedih dan prihatin dengan penderitaan yang mereka tanggung. Kami juga berdoa agar konflik dan keganasan yang berlaku segera berakhir memandangkan terlalu banyak nyawa telah melayang," katanya dalam kenyataan hari ini.

MERCY Malaysia akan menggunakan derma ini untuk segera memberi bantuan perubatan yang amat diperlukan dan meninjau bantuan lain yang diperlukan penduduk terjejas, termasuk makanan dan pemakanan.

Kenyataan itu berkata derma berkenaan juga akan disalurkan bagi membiayai program kerjasama MERCY Malaysia dengan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa.

"Kami berterima kasih atas usaha berterusan NGO ini dalam memberi bantuan kemanusiaan kepada orang awam dan pelarian Palestin," kata Badlisyah.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus menerima cek contoh daripada Badlisyah pada satu majlis di ibu pejabat bank itu di sini hari ini.

Turut hadir pengarah eksekutif MERCY Malaysia Ahmad Faezal Mohamed dan Wakil Negara UNRWA Malaysia Hartini Zainudin.

MERCY Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus kepada penyediaan bantuan perubatan, pembangunan berkaitan kesihatan lestari dan kegiatan pengurangan risiko untuk masyarakat yang memerlukan bantuan dalam keadaan krisis dan bukan krisis.