China Petroleum Pipeline Engineering Co., Ltd (CPP) akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan Malaysia, untuk pampasan yang adil dan saksama, bagi pembatalan projek di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia menerima keputusan kerajaan untuk membatalkan projek Multi-Product Pipeline (MPP), Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan satu lagi projek saluran paip, yang menghubungkan Melaka dengan kilang penapisan dan petrokimia Petronas di Johor.

"CPP memahami dan menghormati bahawa keputusan itu atas sebab ekonomi dan kewangan," katanya.

Susulan daripada pembatalan itu, ia akan menugaskan semula kakitangan, tempatan dan asing, yang sebelum ini ditugaskan untuk projek saluran paip itu kepada usaha lain di Malaysia dan negara lain.

CPP berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam projek saluran paip pada masa depan dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA