Dagangan dua hala antara Malaysia dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) meningkat 0.2 peratus kepada RM145.18 bilion pada 2016 berbanding RM144.87 bilion pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan berkata eksport ke OIC meningkat 5.1 peratus tahun ke tahun kepada RM82.07 bilion, manakala import sebanyak RM63.11 bilion.

Imbangan dagangan juga menunjukan prestasi yang baik, meningkat 67 peratus kepada RM18.96 bilion pada 2016 berbanding RM11.37 bilion pada 2015, katanya pada sesi soal jawap di Dewan Rakyat hari ini.

Antara barangan eksport termasuk minyak sawit dan produk minyak sawit, kimia dan barangan kimia, peralatan mesin, selain elektrik dan produk elektrik dan elektronik.

Beliau berkata antara negara anggota OIC, hampir 70 peratus eksport Malaysia memasuki negara seperti Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Bangladesh dan Pakistan.

Menurutnya Malaysia bekerja keras mewujudkan hubungan dagangan yang baik dengan negara OIC.

Sebagai contoh, beliau berkata Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Pakistan pada 2007 dan Turki pada 2014.

Beliau berkata OIC kini merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dengan menyumbang 9.8 peratus daripada jumlah dagangan RM1.48 trilion pada 2016.

"Yang pertama ialah ASEAN dengan menyumbang 27 peratus kepada keseluruhan nilai dagangan pada 2016, diikuti China (16.2 peratus), Singapura (12.6 peratus), Kesatuan Eropah (10 peratus).

"Amerika Syarikat ialah rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia, iaitu 9.2 peratus," katanya.

Ahmad berkata kerajaan akan terus mewujudkan hubungan perdagangan yang baik dengan OIC.

Diasaskan pada 1969, OIC dianggotai 57 negara dengan jumlah penduduk lebih 1.6 bilion.

-- BERNAMA