Tutup

Berita  | Bisnes

Dagangan Malaysia-China dijangka cecah paras tertinggi tahun ini

Dagangan Malaysia-China dijangka cecah paras tertinggi tahun ini
Angka itu mencecah paras rekod sebanyak AS$108.6 bilion pada tahun lepas dan 683 kali lebih tinggi berbanding AS$159 juta pada 1974.
KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala Malaysia-China dijangka mencatat paras tertinggi tahun ini berdasarkan prestasi sembilan bulan pertama 2019 yang mencecah AS$89.75 bilion (AS$1=RM4.17) iaitu meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

Duta Khas Malaysia ke China Tan Kok Wai berkata angka itu mencecah paras rekod sebanyak AS$108.6 bilion pada tahun lepas dan 683 kali lebih tinggi berbanding AS$159 juta pada 1974 - detik kedua-dua negara memulakan hubungan diplomatik secara rasmi.
"Jumlah dagangan Malaysia-China adalah sekitar satu perlima daripada jumlah dagangan antara China-Amerika Syarikat dan satu pertiga daripada angka membabitkan China-Jepun," katanya kepada kepada pemberita selepas majlis perasmian Ekspo Perdagangan Jajaran dan Jalan Shaanxi China-Malaysia kali kedua di sini, hari ini.

Selain itu, jumlah dagangan Malaysia-China turut meliputi satu perlima daripada angka dicatatkan oleh dagangan China-ASEAN.
Terdahulu dalam ucapannya, Tan berkata perhubungan antara Malaysia dan China sentiasa mengorak langkah ke hadapan dan di landasan tepat untuk menjadi lebih akrab, baik serta kukuh.

"Tahun depan merupakan Tahun Pelancongan Malaysia-China 2020. Rakyat Malaysia sering melancong ke China dan kita juga sentiasa mengalu-alukan kehadiran lebih ramai rakyat China melawat Malaysia," katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 2.94 juta warga China melancong ke Malaysia iaitu meningkat 29 peratus daripada 2.28 juta pada tahun sebelumnya.

"Bagi tahun ini, tiada masalah untuk melepasi angka sebanyak 3.0 juta pelancong China memandangkan sepanjang tempoh enam bulan pertama (2019), kita telah menerima kehadiran 1,558,782 pelancong China iaitu peningkatan 6.4 peratus berbanding 1,464,911 dalam tempoh sama tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata nilai perdagangan dua hala Malaysia-China bagi tempoh Januari-Oktober 2019 telah melebihi AS$100 bilion.

Ketika berucap, beliau berkata China juga terbukti telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 10 tahun berturut-turut.

Ekspo Perdagangan Jajaran dan Jalan Shaanxi China-Malaysia itu dikendalikan bersama Ekspo Label Swasta (MaPLE 2019) yang bermula hari ini sehingga 27 November.

Sebanyak 320 pempamer dari Malaysia, China, kawasan wilayah Oceania, Thailand dan Africa menyertai acara MaPLE 2019, termasuk 73 pempamer dari wilayah Fujian China.

Ekspo perdagangan Jajaran dan Jalan itu pula disertai oleh 92 pempamer iaitu 75 mewakili wilayah Shaanxi manakala Malaysia diwakili oleh 17 pempamer.

-- BERNAMA


Tag: perdagangan, dua hala, ekonomi, malaysia-china, tan kok wai, duta khas malaysia ke china, pelaburan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.