Tutup

Berita  | Bisnes

Dagangan Malaysia-Wilayah Guangxi lonjak 120 peratus pada 2018

Dagangan Malaysia-Wilayah Guangxi lonjak 120 peratus pada 2018
Zaimah berkata, untuk CAEXPO kali ini, 600 sesi padanan perniagaan turut diadakan bersama pempamer Malaysia. --fotoBERNAMA
NANNING (China): Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan wilayah Guangxi, China mencatat pertumbuhan sebanyak 120 peratus kepada US$1.2 bilion (RM5.1 bilion) pada tahun lepas berbanding US$532.1 juta (RM2.23 Bilion) pada 2017.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Zaimah Osman berkata bagi tempoh sama, jumlah import barangan Malaysia turut meningkat kepada US$572.79 (RM2.4 bilion) berbanding US$325.67 juta (RM1.3 bilion) pada 2017.
''Pertumbuhan itu dipacu oleh jumlah dagangan dan juga import barangan Malaysia serta beberapa inisiatif seperti promosi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan juga kerjasama dengan pihak China Post.

"Kita boleh lihat bahawa CAEXPO ini menjadi antara penyumbang kepada peningkatan nilai eksport Malaysia ke Guangxi. Bukan mudah untuk mendapatkan (angka) melebihi 100 peratus apalagi dua digit seperti ini yang menjadi petunjuk amat baik untuk masa depan Malaysia di pasaran China," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pavilion atau Astaka Malaysia di CAEXPO 2019 di sini, hari ini.
CAEXPO edisi ke-16 tahun ini, berlangsung pada 21-24 September.

Zaimah berkata untuk CAEXPO kali ini, sebanyak 600 sesi padanan perniagaan telah diadakan bersama pempamer Malaysia pada hari kedua acara itu.

Pada hari ketiga, MATRADE juga telah mengadakan sesi padanan 'Cross Border E-Commerce' (E-Dagang Rentas Sempadan) bersama 104 syarikat China.

Ini disusuli pemeteraian tujuh memorandum persefahaman (MoU) terai oleh perusahaan tempatan termasuk De'Armani Niaga (M) Sdn Bhd bersama Makatas International Trading (Shanghai) Co. Ltd dan Guangzhou Hoolinks FMCG Supply Chain Co.

Syarikat lain adalah PlantBio Research Sdn Bhd bersama Wuhan Yiwei Trading Co Ltd; R H Bee Farms Sdn Bhd bersama Yunke Upin (HK) Limited; SG Sales Service Sdn Bhd dan AYZ Food Trades; Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd dan Golden Ocean International Trade (Shandong) Co Ltd serta Biotropics Malaysia Berhad bersama Nature's Farm Singapore.

MoU itu antara lainnya membabitkan produk seperti kopi premium, durian Musang King, produk kesihatan, madu serta makanan bayi.

-- BERNAMA