Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mewujudkan dana baharu bernilai RM30 juta bagi memudahkan penyelidikan dalam penjenteraan industri sawit.

Menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata Dana Penjenteraan Kelapa Sawit itu dilancarkan dengan peruntukan RM25 juta daripada kerajaan, manakala RM5 juta lagi menerusi sumbangan sektor swasta.

"Saya yakin sektor swasta akan tampil memberi sumbangan untuk terus menggalakkan penjenteraan (dalam industri sawit).

"Setakat ini, sebuah syarikat telah menyumbang RM1 juta untuk dana tersebut," katanya pada sidang media selepas pelancaran 'Seminar Unjuran dan Kajian Semula Ekonomi Minyak Sawit 2017' anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini pada Selasa.

Beliau berkata antara lain, dana ini akan digunakan untuk membiayai penyelidikan mengenai penjenteraan di pusat-pusat penyelidikan di dalam dan luar negara, memperoleh teknologi penjenteraan, dan menganjurkan pertandingan dan pengubahsuaian peralatan.

Dana berkenaan akan diurus oleh MPOB dengan penyertaan wakil daripada syarikat perladangan, akademik dan pihak yang berkaitan, katanya dan menambah dana itu juga dapat merangsang produktiviti, kecekapan dan penghasilan minyak sawit yang berkualiti.

"Industri minyak sawit berintensifkan buruh, menggaji 431,357 pekerja di ladang-ladang, dengan 77 peratus atau 332,135 terdiri daripada pekerja asing.

"Menerusi teknologi dan peralatan yang lebih cekap, kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dalam jangka masa panjang," katanya.

Mah berkata untuk masa depan, kementerian itu menyasarkan seorang pekerja bagi setiap 12 hektar berbanding seorang pekerja bagi setiap lapan hektar pada masa ini.

Mengenai laporan bahawa kandungan minyak sawit dalam coklat dan sapuan kacang hazel, Nutela, boleh dikaitkan dengan kanser, beliau berkata dakwaan itu tidak benar dan tiada bukti mengenainya.

-- BERNAMA