Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Selaras dengan Visi Automotif Nasional, NAP 2020 dirangka dalam usaha menggerakkan Malaysia ke arah matlamat menjadi peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan sektor automotif.

Ia bakal menyaksikan lebih banyak kajian dalam teknologi baharu, penciptaan perniagaan dan peluang pekerjaan, termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), dan pembangunan dalam proses bidang pembuatan yang baharu, serta rantaian nilai melalui automotif tempatan serta sektor mobiliti keseluruhannya.

Ekosistem dalam sektor pembuatan dan selepas pasaran melalui automotif dan industri mobiliti akan ditingkatkan dengan menumpukan kepada Next Generation Vehicle (NxGV), Mobility as a Service (MaaS) dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).


NAP 2020 akan dilaksanakan bermula tahun 2020 hingga 2030.

Selain penyelarasan dengan peningkatan teknologi terkini, NAP 2020 akan menambahbaik pendekatan polisi sedia ada dan pelaksanaannya.

Ia melibatkan penglibatan syarikat tempatan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), aktiviti kejuruteraan, membangunkan kapasiti tenaga kerja tempatan, menyediakan sokongan kepada projek kereta nasional termasuk meningkatkan eksport, pelaburan, dan jumlah pengeluaran tempatan.



NAP 2020 menerapkan tiga teras hala tuju dan tiga strategi yang melibatkan tujuh pelan tindakan.

Hala tuju pertama ialah teknologi dan kejuruteraan melibatkan pembangunan dalam komponen kritikal dan sistem untuk NxGV, MaaS, dan IR4.0.

Hala tuju kedua, pelaburan melalui mekanisme insentif yang sesuai akan diteruskan berdasarkan analisis kos faedah daripada cadangan perniagaan berkaitan oleh pelabur.

Hala tuju ketiga, perkembangan pasaran iaitu pendekatan yang diperkenalkan untuk meningkatkan pembangunan eksport, bukan sahaja untuk kenderaan dan komponen, tetapi juga untuk sektor perkhidmatan dan selepas pasaran.


Sementara itu, tiga strategi tersebut ialah:

1. Pembangunan rantaian nilai iaitu meningkatkan persaingan rantaian nilai domestik dalam meningkatkan produk yang berkualiti dan berteknologi tinggi, sekali gus memenuhi keperluan pengeluar kenderaan dan pengguna.

2. Pembangunan modal insan iaitu membangunkan bakat tempatan dengan permintaan teknologi automotif dan mobiliti.

3. Keselamatan, persekitaran dan kepenggunaan iaitu mempromosikan penciptaan baharu, teknologi mesra alam sekitar dengan menekankan keselamatan kenderaan dan pada masa sama memperkenalkan elemen hak pengguna, perlindungan alat ganti, serta perkhidmatan.

Pelan tindakan akan terus melalui kajian dan dikemaskini secara berterusan dan berkembang mengikut arus global, teknologi dan permintaan pasaran.