Langkah-langkah fiskal merupakan tumpuan khusus untuk Malaysia memandangkan beban hutang negara yang tinggi yang mengekang kredit, kata Moody's Investors Service.

"Oleh itu, setakat mana kerajaan baharu dapat mencapai konsolidasi defisit fiskal, penting untuk mengukur kesan terhadap metrik fiskal dan profil kredit Malaysia," katanya.

Moody's berkata demikian dalam laporan bertajuk 'Kerajaan Malaysia: Soalan Lazim mengenai implikasi kredit dasar kerajaan baharu'. Laporan ini menganalisis implikasi dasar baharu kerajaan Malaysia (A3 stabil) ke atas profil kredit negara.

Ia berkata peralihan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 bulan lepas daripada parti penyandang yang memimpin negara selama lebih enam dekad, memperkenalkan beberapa dasar yang tidak pasti.

Moody's berkata firma penarafan itu akan mengkaji dasar kerajaan baharu secara menyeluruh bagi mengukur kesannya terhadap profil kredit.

Sementara itu, agensi penarafan itu mengekalkan anggaran hutang kerajaan Malaysia secara langsung pada 50.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017, dan penilaian ke atas risiko liabiliti luar jangka yang ditimbulkan oleh institusi awam sektor bukan kewangan juga tidak berubah berikutan beberapa kenyataan oleh kerajaan baharu.

"Bagaimanapun layanan pentadbiran baharu ke atas projek infrastruktur besar yang akan dikaji semula namun memperoleh manfaat daripada pinjaman jaminan kerajaan terdahulu, dan baki hutang dana negara, 1Malaysia Development Bhd, akan memain peranan penting dalam menentukan risiko hasil daripada liabiliti ke atas profil kredit," katanya.

Mengenai pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Moody's berkata ketiadaan langkah penggantian fiskal yang berkesan, boleh menjurus kepada kredit negatif disebabkan pergantungan kerajaan ke atas hasil berkaitan minyak dan asas percukaian yang kecil.

Ia menganggarkan pendapatan yang hilang susulan pemansuhan cukai itu pada sekitar 1.1 peratus daripada KDNK tahun ini, walaupun beberapa keseimbangan, dan 1.7 peratus melepasi 2018; terus mengekang pengukuhan fiskal Malaysia.

Moody melihat pengenalan semula subsidi bahan api bersasar, sebagai kredit negatif memandangkan subsidi mengherotkan mekanisme penetapan harga berasaskan pasaran, dan boleh menjejaskan kedudukan fiskal serta imbangan pembayaran dan pada masa yang sama meningkatkan pendedahan hasil kerajaan kepada pergerakan harga minyak, katanya.

Mengenai prospek pertumbuhan, ia berkata perubahan kerajaan tidak akan mengubah trend pertumbuhan dalam jangka masa terdekat, katanya.

"Pemansuhan GST boleh meningkatkan penggunaan swasta dalam jangka pendek.

"Bagaimanapun, kajian semula ke atas projek-projek infrastruktur yang besar juga boleh meningkatkan pelaburan dan lebih meluas berbanding unjuran Moody's sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA