Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan akan mengetuai delegasi perdagangan negeri itu ke China, pertengahan Ogos ini.

Delegasi perdagangan itu akan bertemu dengan wakil syarikat-syarikat dari negara itu yang telah menyatakan minat untuk melabur dalam industri makanan di Tanjung Manis.

Ia merupakan susulan hasil kunjungan yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan ke Sarawak untuk meninjau peluang-peluang serta potensi pelaburan di negeri ini baru-baru ini.

"Mereka telah tertarik (dengan potensi dan peluang yang terdapat di negeri ini) kerana kerajaan Sarawak mempunyai dasar-dasar yang mesra perniagaan," katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Suarah di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II berkata, Tanjung Manis merupakan industri hab halal di negeri ini yang sedang dibangunkan selain merupakan hab pelabuhan.

Selain itu katanya, kerajaan telah membuat satu kajian bagaimana dapat melibatkan daerah Sarikei, Meradong, Julau dan kawasan sekitarnya bagi dimajukan sebagai kawasan pengeluaran pertanian.

Menurutnya, melalui kajian itu kawasan berkenaan akan menjadi pengeluar bukan setakat untuk kegunaan domestik malah eksport.

Sementara itu Awang Tengah meminta rakyat pelbagai kaum dan anutan agama di Sarawak supaya terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan yang dikecapi selama ini. Menurut beliau, perbezaan kaum dan anutan agama tidak pernah menjadi masalah kepada rakyat Sarawak selama ini malah ia menjadi satu kekuatan.