Nilai dolar AS merosot ke paras tiga tahun terendah berbanding beberapa matawang utama dunia lain dalam dagangan Jumaat.

Indeks dolar AS jatuh berbanding 6 matawang utama dunia kepada 88.253, terendah sejak Disember 2014 manakala nilai matawang itu turut merosot 2 peratus secara mingguan, terendah sejak Februari 2016.

Beberapa faktor mempengaruhi prestasi dolar AS tahun ini termasuk kegusaran bahawa Washington mungkin meneruskan strategi melemahkan nilai dolar.

Menurut laporan Reuters tahap keyakinan pedagang terhadap nilai dolar merosot susulan kebimbangan terhadap bajet besar AS yang bakal mewujudkan defisit akaun semasa sehingga AS$1 trilion menjelang 2019.

Dolar AS susut berbanding nilai yen Jepun pada 105.545 yen, terendah dalam tempoh 15 bulan, serta jatuh 2.4 peratus berbanding Euro.

Pada penutup dagangan Khamis, kelemahan dolar turut menolak naik nilai ringgit kepada 3.8910.