Penggunaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai wang pendahuluan bagi pembelian Proton Iriz dilihat hanya menambah hutang bagi pemandu perkongsian kenderaan.

Penasihat dan Pengasas Syarikat Big Blue Capital, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, wang itu seharusnya digunakan untuk membantu keluarga dan bukan membeli kereta.

"Bayaran pendahuluan itu juga dilihat tidak realistik kepada pemandu berkenaan. Kalau dia tidak bawa Uber macam mana? Apa akan jadi dengan kereta itu? Apakah itu kereta persendirian atau teksi Uber?

"BR1M untuk rakyat yang mendapat duit daripada kerajaan untuk perbelanjaan kepada keluarga, bukannya menambah hutang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Pasca Bajet 2017

Pada pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu, Kerajaan menggalakkan penyertaan mereka sebagai pemandu ride-sharing seperti pemandu UBER, terutama bagi pemilik kenderaan sendiri.

Kata Datuk Seri Najib, bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan BR1M dan rebat sebanyak RM4,000 bagi pembelian kereta Proton Iriz.


BACA: Bajet 2017: Ucapan penuh PM Najib

Selain itu jelas Shamsubahrin, pengumuman geran RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu dan penawaran permit teksi individu mempunyai implikasi jangka panjang kepada pemandu terbabit.

"Dia bagi geran lima ribu, saya setuju bagus. Tetapi kereta itu sendiri harganya berapa, katakan 45 ribu ringgit, campur campur jadi RM50,000.

"Satu bulan hendak bayar berapa RM500? RM600? Katakan RM300 ringgit, dia kata boleh bayar RM300 untuk sembilan tahun, kereta pun sudah hancur," ujarnya.

Pada Jumaat, Datuk Seri Najib menjelaskan, geran itu akan memberi manfaat kepada 12 ribu pemandu teksi yang layak dan telah tamat kontrak pajak dengan syarikat teksi mereka.

Dalam pada itu tegas Shamsubahrin, pengumuman Perdana Menteri terhadap perlindungan Skim PERKESO kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga tiga ribu ringgit sebulan juga dilihat masih samar-samar.

Katanya, perlindungan itu seharusnya mencakupi skop yang lebih luas dan bukan hanya kemalangan semata-mata.