Industri e-dagang Malaysia berkembang pesat selepas lonjakannya pada pertengahan 2000-an dan kini merupakan perniagaan yang bernilai RM24.6 bilion, kata iPrice Group.

iPrice Group ialah laman web e-dagang meta-carian yang membolehkan pembeli Malaysia berhubung dengan beratus-ratus peniaga e-dagang dan mencari produk, membanding harga dan mendapatkan tawaran terbaik.

iPrice dalam satu kenyataan hari ini berkata Lazada berada di senarai teratas syarikat e-dagang utama di Malaysia, diikuti Zalora dan 11 Street, berdasarkan kepada trafik dalam talian mereka, jumlah kakitangan dan pengikut di aplikasi media sosial seperti SimilarWeb, LinkedIn, Facebook, Instagram dan Twitter.

Laman web Lazada menerima purata 29 juta pengunjung setiap bulan manakala 11 Street sembilan juta pengunjung.

"Kesemua tiga syarikat e-dagang utama ini berpangkalan di Asia Tenggara.

"Walaupun laman web e-dagang dari luar rantau Asia Tenggara seperti eBay dan Sephora juga dilayari rakyat Malaysia, laman e-dagang serantau dan tempatan dianggap lebih berjaya, kemungkinan disebabkan oleh pengetahuan lokal pasaran e-dagang tempatan yang memberikan mereka kelebihan," kata laman web itu.

Sementara itu, Lelong.com berada dalam senarai teratas syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia, dengan laman webnya mencatatkan purata trafik 6.33 bilion semasa suku kedua 2017.

"Ditubuhkan pada 1998, Lelong.com kemungkinan merupakan syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia yang paling lama dan ia kekal menjadi platform dagang-bagi-dagang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka merupakan antara yang pertama melihat potensi e-dagang," kata laman web itu.

IPrice berkata e-dagang fesyen tempatan seperti Fashion Valet dan Poplook juga semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Jenama tempatan ini biasanya berkembang menerusi laman media sosial seperti Instagram, di mana mereka dengan mudah boleh mempamerkan produk mereka menerusi imej dan perkongsian dengan jenama dan selebriti popular tempatan," kata laman web itu.

Menurut IPrice, jenama fesyen di Malaysia meraih manfaat daripada penggunaan model e-dagang dalam menjalankan operasi mereka kerana ia membolehkan mereka menyusun perniagaan mereka mengikut keperluan pengguna.

-- BERNAMA