Eastspring Investments Bhd mengumumkan agihan pendapatan kasar 0.0592 sen seunit atau pulangan dividen 5.75 peratus bagi 'Eastspring Investments Target Income Fund 4', untuk tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2018.

Semua pemegang unit yang mengekalkan pegangan masing-masing dalam dana itu sehingga 30 Okt, 2018, layak memperoleh agihan pendapatan berkenaan, kata syarikat pengurusan aset itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dana bon terkumpul lima tahun itu merupakan siri keempat dana pendapatan sasaran.

"Pengagihan ini selaras dengan matlamat untuk memberikan pendapatan yang tetap sepanjang tempoh dana.

"Peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat mengimbangi prestasi kredit Asia, walau bagaimanapun sebahagian impaknya diimbangi oleh pemampatan sebaran kredit," katanya.