Edra Power Holdings Sdn Bhd, pengeluar tenaga bebas kini berada di landasan untuk membina loji fotovolta solar terbesar pertamanya dengan kapasiti 50MWAC di Kedah menjelang awal 2018.

Projek Solar Kedah yang bakal memberi pelbagai limpahan ekonomi kepada negeri, akan dilaksanakan oleh Edra Solar Sdn Bhd, anak syarikat Edra.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Power, Datuk Mark Ling berkata, loji tenaga solar di Kedah dijangka menghasilkan 80,000 Mwh kuasa setahun dan akan dibangunkan di tanah seluas 105.21 hektar di Bandar Kuala Ketil, Baling.

Pembangunan loji solar akan menukar tanah pertanian di Kuala Ketil sebagai kawasan perindustrian sekali mewujudkan kesan positif yang ketara untuk pertumbuhan ekonomi Kedah, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Projek Solar Kedah bakal menjadi loji fotovolta tenaga solar pelbagai utililiti dengan kapasiti agregat sehingga 500MW untuk dibangunkan oleh Edra tertakluk kebenaran bersyarat yang diberikan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Edra Solar telah menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah pada Ogos 2015 untuk mendapatkan tanah tersebut dengan BDB Land Sdn Bhd (BDB Land), yang merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB).

Sebagai pengeluar tenaga di Malaysia , Ling berkata Edra komited untuk membangunkan sektor tenaga tempatan, termasuk sektor tenaga boleh diperbaharu.

Beliau berkata, Edra akan terus memaksimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan menghasilkan peluang kerja mahir untuk rakyat Malaysia menerusi Projek Solar Kedah semasa pembinaan, operasi dan penyelenggaraan projek, merangkumi sebahagian besar kumpulan jurutera, operasi dan pengurusan adalah terdiri daripada rakyat tempatan.

Katanya, memandangkan kepentingan sumbangan projek tersebut kepada Kedah, kerajaan negeri itu telah memberikan sokongan padu dan kerjasama ke arah kelancaran perlaksanaan projek.

Edra Power berkata, pihak agensi dan penguatkuasa berkenaan di Negeri telah memberikan kelulusan yang diperlukan bagi membolehkan Edra Solar memulakan projek tersebut.

Syarat prajadi yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli tanah telah dipenuhi dan Edra Solar telah diberikan pemilikan kosong oleh BDB Land bagi membolehkan syarikat memulakan kerja-kerja tapak, kata Edra Power.

Edra Solar juga telah memperolehi kelulusan Kebenaran Merancang daripada Majlis Daerah Baling bagi memulakan kerja-kerja tapak, menurut syarikat itu.

Tenaga solar hijau akan berupaya mengurangkan 36,000 tan pengeluaran karbon setahun, sekali gus menyokong insiatif kerajaan dalam mengurangkan gas kesan rumah hijau.

Edra berharap dapat meneroka lagi peluang berkerjasama dengan BDB dan negeri Kedah dalam mengenal pasti kawasan berpotensi daripada simpanan semasa dan masa depan, untuk pembangunan ladang solar baharu di Kedah yang dapat membantu menyumbangkan kepada Program Hijau Kerajaan.

Edra merupakan antara pengeluar tenaga bebas antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara, menguasai pelbagai portfolio aset jana kuasa tenaga berkualiti merangkumi pelbagai jenis teknologi.

Kumpulan itu mempunyai portfolio 13 loji tenaga dan penyahgaraman di Malaysia, Mesir , Bangladesh, Pakistan dan Emiriyah Arab Bersatu, dengan jumlah kapasiti bersih sebanyak 5,529 megawatt dan kapasiti pennyahgaraman sebanyak 16 MIGD.

Edra merupakan pengeluar tenaga bebas kedua besar di Malaysia dan Bangladesh, serta merupakan kumpulan pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Mesir.

Edra merupakan anak syarikat milik penuh China General Nuclear Power Corporation (CGN), syarikat tenaga nuklear terkemuka di dunia dengan pelaburan dalam lebih 25 GW projek tenaga hijau dan boleh diperbaharu, termasuk angin, solar, hidro, gas, projek arang dan sel bahan bakar yang efisien di China, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom, Perancis dan Australia.

-- BERNAMA