Kejatuhan nilai ringgit menjadikan sumber pendapatan ejen pelancongan di negara ini terjejas terutamanya akibat kemerosotan permintaan rakyat negara ini untuk pakej melancong di luar negara.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Hamzah Rahmat berkata, rata-rata masyarakat yang mahu melancong ke luar negara juga akan berfikir banyak kali sebelum akhirnya memutuskan mengambil pakej percutian hanya di dalam negara.

"Kejatuhan ringgit menjadikan ramai ejen pelancongan mengalami masalah. Permintaan untuk pakej melancong ke luar negara turun.

"Ia memberi kesan terutama pakej ke negara yang mempunyai nilai matawang lebih tinggi daripada ringgit. Situasi ini berbeza semasa ringgit dilihat kukuh sebelum ini," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: 'Saya antara yang paling gembira bila ringgit jatuh' - Nazri Aziz

Hamzah mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkannya merupakan antara individu yang paling gembira apabila nilai ringgit mengalami kejatuhan.

Menurut Nazri, pelancong dari negara yang nilai wangnya lebih besar seperti United Kingdom and Eropah akan membelanjakan wang mereka di Malaysia dengan lebih kerana nilai pertukaran yang tinggi.

BACA: Infografik: Pergerakan Ringgit berbanding Dolar AS

Ringgit baru-baru ini menyaksikan lagi kejatuhan apabila ia ditutup pada paras paling rendah dalam tempoh sembilan tahun berbanding dolar Amerika pada Isnin lalu.

BACA: Ringgit ditutup paling rendah dalam tempoh sembilan tahun

Ringgit berada pada 3.7660/7690 berbanding 3.7170/7200 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu kata Hamzah, ejen-ejen pelancongan kini menyasarkan pakej dalam negeri yang dilihat lebih bersifat 'mampu milik' kepada masyarakat.

BACA: Malaysia bakal jadi tumpuan pelancong ekoran penyusutan nilai ringgit

Walaupun begitu ujarnya, kejatuhan ringgit turut membuka kemungkinan peningkatan pelancong asing di negara ini.

"Kita akan mengambil tindakan agresif untuk melebihkan promosi pelancongan dalam negara. Dalam pameran MATTA akan datang, kita akan membesarkan ruang untuk lebih ramai ejen pelancongan dalam negara menawarkan pakej terbaik mereka," ujarnya.

Hamzah turut mendedahkan, perniagaan atas talian merupakan antara cabaran besar bagi ejen yang bernaung di bawah MATTA.

"Banyak persaingan atas talian yang merumitkan ejen kami namun ia tetap dilihat satu persaingan sihat," katanya.

BACA: Pameran Matta 2015 sasar jualan lebih RM135 juta

Hamzah sebelum ini dilaporkan memberitahu, Pameran MATTA 2015 dijangka meraih jualan sehingga RM135 juta dan menarik lebih 85,000 pelawat untuk edisi semasanya.

Jelasnya pada tahun lepas, pameran MATTA pertama yang berlangsung pada Mac menarik 90,273 pelawat manakala pameran pada September dikunjungi 82,000 orang.