KUALA LUMPUR:Ekonomi global dijangka pulih tahun ini, dimulai dengan China, dipacu oleh sokongan kerajaan di seluruh dunia dan pelancaran vaksin, demikian menurut Asia Pacific Investment Bank (APIB).

Pengarah Jabatan Pengurusan Aset Heow Gran Lai berkata China adalah negara pertama di peringkat global yang mula pulih daripada krisis pandemik COVID-19.

Ia merekodkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 6.5 peratus pada suku keempat 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, mendorong pertumbuhan ekonominya kepada 2.3 peratus untuk tahun penuh.

Bercakap pada sesi webinar malam tadi bertajuk "Unjuran Kewangan 2021: Mengapa Anda Perlu Optimis," beliau berkata jangkaan bahawa vaksin akan tersedia lebih awal daripada dijangka, telah memberikan semangat kepada pelabur saham.

"Kami berharap agar vaksin itu dapat diperoleh secepat mungkin dan sama ada ia 100 peratus berkesan atau sebaliknya, atau belum diuji, bagaimanapun, kewujudan vaksin itu tentunya akan membantu pemulihan," katanya.

Selain itu, beliau yakin dasar fiskal dan monetari yang mencukupi dan diperkenalkan oleh kerajaan di seluruh dunia akan menjadi enjin kepada pertumbuhan itu.

"(Melihat) kepada kemajuan hari ini, kami yakin pemulihan neutral dan sederhana dijangka berlaku (tahun ini)," katanya.

Mengikut statistik, Heow berkata tahap pengeluaran di China berkembang pesat di tengah-tengah kestabilan berikutan kedua-dua nilai tambah bagi perusahaan industri dan pengeluaran perkhidmatan mencatat pemulihan kukuh sejak Oktober 2020.

Malah, kadar pertumbuhan tahun ke tahun bagi industri barangan pengguna hiliran dan industri bahan mentah huluan, telah meningkat dengan ketara.

"Dari sudut pandangan mikro, walaupun kadar pertumbuhan penjanaan kuasa tahun ke tahun telah merosot, kadar pertumbuhan tahun ke tahun bagi pengeluaran industri tradisional secara umumnya, telah meningkat semula," katanya.

-- BERNAMA