Ekonomi global dijangka mencatat kerugian antara AS$5.8 trilion dan AS$8.8 trilion, bersamaan dengan 6.4 peratus hingga 9.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berikutan COVID-19, menurut laporan baharu yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB).

Laporan Penilaian Dikemaskini mengenai Potensi Impak Ekonomi daripada COVID-19 mendapati kerugian ekonomi di Asia dan Pasifik kira-kira daripada US$1.7 trilion di bawah senario pencegahan pendek selama tiga bulan hingga US$2.5 trilion di bawah senario pencegahan panjang selama enam bulan, dengan rantau itu menyumbang sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan kemerosotan pengeluaran global.

Katanya kerajaan di seluruh dunia dengan segera memberi respons kepada impak daripada pandemik itu, melaksanakan langkah-langkah seperti pelonggaran fiskal dan monetari, meningkatkan perbelanjaan kesihatan, dan sokongan langsung untuk menampung penurunan pendapatan dan perolehan.

"Usaha berterusan daripada kerajaan yang memberi tumpuan kepada langkah-langkah ini dapat mengurangkan impak ekonomi daripada COVID-19 sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus. Ini dapat mengurangkan kerugian ekonomi global berikutan pandemik tersebut antara US$4.1 trilion dan US$5.4 trilion," kata Ketua Ekonomi ADB Yasuyuki Sawada dalam kenyataan pada Jumaat.

Analisis itu, yang menggunakan model keseimbangan umum Global Trade Analysis Project (GTAP), meliputi 96 negara yang terjejas akibat pandemik tersebut dengan lebih empat juta kes COVID-19.

Selain kejutan terhadap pelancongan, penggunaan, pelaburan, serta hubungan perdagangan dan pengeluaran dalam anggaran Prospek Pembangunan Asia 2020, laporan baharu itu merangkumi saluran penghantaran seperti kenaikan kos perdagangan yang menjejaskan mobiliti, pelancongan dan industri lain; gangguan sisi penawaran yang menjejaskan pengeluaran dan pelaburan; serta respons dasar kerajaan dalam mengurangkan kesan daripada impak ekonomi global COVID-19.

Di bawah senario pencegahan pendek dan panjang, laporan itu menyatakan penutupan sempadan, sekatan perjalanan, dan sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh negara-negara yang terjejas berikutan pandemik itu untuk memutuskan rantaian COVID-19 dijangka mengurangkan perdagangan global sebanyak US$1.7 trilion hingga US$2.6 trilion.

"Kerajaan perlu menguruskan gangguan rantaian bekalan; menyokong dan meningkatkan e-dagang dan logistik untuk penghantaran barangan dan penyampaian perkhidmatan; serta membiayai langkah-langkah perlindungan sosial sementara, subsidi pengangguran, dan pengedaran komoditi penting - terutamanya makanan - untuk menghalang kemerosotan penggunaan yang ketara," kata Yasuyuki.

Mengenai pekerjaan di peringkat global, katanya ia akan merosot antara 158 juta dan 242 juta pekerjaan, dengan Asia dan Pasifik terdiri daripada 70 peratus daripada jumlah kehilangan pekerjaan.

Pendapatan buruh di seluruh dunia akan susut sebanyak US$1.2 trilion hingga US$1.8 trilion, 30 peratus daripadanya akan dialami oleh negara-negara di rantau ini, atau antara US$359 bilion dan US$550 bilion.

Selain meningkatkan perbelanjaan kesihatan dan mengukuhkan sistem kesihatan, pendapatan yang kukuh dan perlindungan kepada pekerjaan penting untuk mengelak pemulihan ekonomi yang lebih sukar dan berpanjangan.

-- BERNAMA