Kuantiti perdagangan tinggi dan pemulihan pelaburan akan membantu meningkatkan ekonomi negara tahun depan dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang 5.3 peratus daripada anggaran 5.8 peratus tahun ini, kata seorang pakar ekonomi.

Pakar Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng Research Pte Ltd Chua Hak Bin berkata pertumbuhan perdagangan dan pemulihan pelaburan akan membantu merangsang ekonomi, mendapat manfaat daripada kekukuhan ringgit yang dijangka mengukuh kepada 4.02 berbanding dolar AS pada akhir tahun depan.

Beliau berkata peningkatan harga minyak juga akan membantu kedudukan fiskal Malaysia dan meningkatkan akaun semasa.

"Dari segi sejarahnya, pelaburan mempercepatkan kemajuan eksport, kerana terdapat banyak projek prasarana yang akan dibangunkan seperti projek Laluan Kereta Api Pantai Timur. Saya rasa ia kemungkinan akan mengekalkan pertumbuhan. Ringgit secara sejarahnya dikaitkan dengan pertumbuhan eksport.

"Saya rasa terdapat faktor yang memihak kepada ringgit dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang," katanya selepas sesi panel mengenai "Prospek Ekonomi 2018 - Global, Serantau dan Apakah Peluang yang Menanti bagi Malaysia" di sini, pada Rabu.

Chua berkata kekukuhan ringgit juga akan membantu mengukuhkan kuasa beli kerana ia akan mengurangkan inflasi import.

"Keseluruhannya ia faktor penambah kerana apabila anda pergi ke pasar raya, terdapat banyak barang diimport. Ia (harga) sudah tentunya meningkat sedikit berbanding tiga hingga empat tahun lepas," katanya.

Mengulas mengenai langkah kerajaan membekukan pembangunan hartanah mewah, Chua berkata daripada berbuat demikian kerajaan boleh mengambil langkah lain seperti menerusi nisbah pinjaman berbanding nilai berbeza untuk mengukuhkan kewangan bagi menangani isu tersebut.

Kerajaan telah membekukan kelulusan bagi pembangunan hartanah mewah bermula 1 Nov bagi mengawal lebihan bekalan agar tidak menjejaskan ekonomi.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran hartanah telah meningkat sejak 2015 dengan memberi contoh hartanah kediaman tidak terjual yang tinggi dalam tempoh sedekad dengan majoritinya dalam kategori berharga RM250,000 ke atas.

-- BERNAMA