Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh pada 4.5 peratus bagi 2016, penyusutan 0.2 peratus berbanding 2015.

Angka tersebut adalah semakan menaik daripada unjuran awal 4.2 peratus untuk 2016.

Pakar ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Dr Rafael Muniz Moreno, menambah, kerajaan dalam masa yang sama harus mengkaji mengurangkan perbelanjaan operasi susulan penyusutan harga minyak global.

Tambah Rafael, pertumbuhan akan didorong oleh permintaan domestik.

"Kerajaan harus mengawal perbelanjaan operasi sebanyak mungkin. Keduanya, kerajaan harus kekalkan perbelanjaan pembangunan.

"Ini kerana ia mempunyai impak ke atas pertumbuhan dan ia mempunyai potensi untuk meningkatkan pertumbuhan negara" kata Rafael.

Bank Dunia menjangka ekonomi ASEAN juga kelihatan suram dengan pertumbuhan 3 peratus bagi suku ketiga.

Ini susulan kesan penyusutan harga komoditi, pertumbuhan perlahan ekonomi China dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan daripada jangkaan.

Sementara itu, laporan pemantauan ekonomi Malaysia 2016 menyatakan bahawa eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh mengganti kejatuhan harga komoditi.

Eksport sektor E&E tumbuh 24.4 peratus suku ke suku pada suku ketiga 2015.