Ekonomi negara tumbuh 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini melebihi jangkaan dan melebihi pertumbuhan suku pertama sebanyak 5.6 peratus.

Dalam sidang media, di sini, hari ini, Gabenor Bank Negara Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata permintaan dalam negeri terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menambah, turut menyokong adalah pemulihan ekonomi global.

"Perdagangan global juga semakin mengukuh, selaras dengan pemulihan ekonomi global.

"Di Asia, pertumbuhan eksport terus mencatatkan pertumbuhan dua angka.

"Malaysia telah mendapat manfaat daripada perkembangan positif di peringkat global," katanya.

Bagi suku kedua, Malaysia menyaksikan pertumbuhan eksport sebanyak 9.6% (suku pertama: 9.8%), pertumbuhan import sebanyak 10.7% (suku pertama: 12.9%), dan pertumbuhan permintaan dalam negeri sebanyak 5.7% (suku pertama: 7.7%).

Secara keseluruhannya, sektor swasta tumbuh 7.2% (suku pertama: 8.2%) dan sektor awam sebanyak 0.2% (suku pertama: 5.8%), sementara eksport bersih tumbuh 1.4% berbanding penguncupan 14.5% yang disaksikan suku lalu.

Muhammad berkata, ringgit juga meningkat 3.1%, menjadikannya matawang berprestasi terbaik di Asia bagi suku kedua.

"Ini kerana kebergantungan ringgit kepada pergerakan harga minyak telah berkurangan," kata Muhammad yang menambah kebergantungan negara kepada hasil minyak telah turun dari 49.9% pada 2009 kepada 14.6% pada 2016.

Bagi suku yang sama, inflasi juga menurun kepada 4.0% (suku pertama: 4.3%).

Muhammad berkata, angka tersebut dijangka akan terus menurun hasil penurunan harga minyak.

Susulan keputusan ini, BNM menjangka KDNK negara akan tumbuh melebihi sasarannya sebanyak 4.3-4.8% bagi 2017.

"Bagaimanapun, sasaran pertumbuhan KDNK baru akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam pembentangan bajet Oktober ini," katanya.

KDNK Malaysia tumbuh 4.2% pada 2016.