Persidangan Dewan Rakyat Rabu diberitahu ekonomi Malaysia tidak bertambah buruk berbanding lima tahun lepas, berdasarkan perkembangan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah berpendapatan 40 terendah (B40) dalam tempoh itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata walaupun ekonomi Malaysia kecil, terbuka dan terdedah kepada risiko ketidaktentuan ekonomi global, ekonomi negara masih berdaya tahan dan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) enam peratus pada 2014.

"Ia melangkaui ramalan pakar ekonomi dan Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.7 peratus bagi 2014.

"Ekonomi negara terus berkembang pada kadar 5.3 peratus untuk separuh tahun ini, dan saya percaya ia mampu berkembang antara 4.5 dan 5.5 peratus untuk keseluruhan tahun 2015.

"Maka adalah tidak benar pendapat yang mengatakan Malaysia adalah ‘the worst in five years’ (terburuk dalam tempoh lima tahun)," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016.

Beliau berkata langkah kerajaan mempelbagaikan struktur ekonomi, mengurangkan penggantungan kepada sektor minyak dan gas, serta melaksanakan Program Transformasi Ekonomi membolehkan Malaysia terus mencapai sasaran KDNK yang diunjurkan.

Abdul Wahid berkata berdasarkan kajian pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, didapati pendapatan purata isi rumah B40 meningkat daripada RM1,440 sebulan pada 2009 kepada RM2,537 pada 2014.

"Apabila pendapatan isi rumah meningkat, trend perbelanjaan mereka juga berubah. Contohnya menukar pemilikan telefon kurang canggih kepada yang lebih canggih atau menukar kereta tempatan kepada kereta import," katanya.

Beliau turut menepis dakwaan kesenjangan pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia masih melebar..

Katanya dari segi pekali gini, ia telah berkurang daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.401 pada 2014.

"Keduanya, nisbah ketidaksamaan pendapatan antara kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus tinggi berbanding B40 terendah telah menurun daripada 6.9 kali ganda kepada 5. 6 kali ganda.

"Dan ketiga, agihan pendapatan isi rumah B40 kepada jumlah pendapatan telah meningkat daripada 14.3 peratus 2009 kepada 16.5 peratus pada 2014," katanya, menambah ia menunjukkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin mengecil dan positif, Abdul Wahid berkata kerajaan juga kekal komited dalam menangani ketidakseimbangan pendapatan rakyat melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).