Ekonomi negara diyakini akan terus kukuh selain kekal kompetitif dan berdaya saing di masa akan datang.

Keyakinan disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang turut mempertikaikan unjuran negatif agensi penarafan Fitch Ratings baru-baru ini terhadap Malaysia.

Abdul Wahid berkata Fitch mempunyai pandangannya sendiri terhadap Malaysia yang dilihat tidak seiring dengan agensi penarafan lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Fitch yang mengatakan berkemungkinan akan menurunkan penarafan kredit Malaysia.

Malah Wahid juga yakin pasaran tidak akan terkesan dengan penarafan negatif agensi itu.

“Kita tidak bergantung kepada mana-mana agensi dan tugas kita adalah memastikan bahawa ekonomi kita terus mantap dan struktur kewangan kita terus kukuh dan asas kepada struktur ekonomi yang berdaya saing,” kata Abdul Wahid.

Ketika ini, Fitch memberikan penarafan A- terhadap Malaysia dan mungkin akan menurunkannya dalam jajaran BBB.

Untuk rekod, agensi penarafan terkemuka Moody's Investors Service pula baru-baru ini memberi pengesahan terhadap bon kerajaan dan penarafan A3 terhadap Malaysia dengan unjuran yang positif.

Wahid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan hadiah kepada majikan terbaik pada majlis Aon Hewitt Best Employers - Malaysia 2015, di sini hari ini.