Malaysia tetap berupaya mencapai banyak kejayaan yang boleh dibanggakan meskipun berdepan cabaran, daripada ketidaktentuan pasaran antarabangsa, kejatuhan harga minyak, sehinggalah kepada tindakan mensabotaj ekonomi dan memburuk-burukkan negara oleh pihak pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata secara keseluruhannya, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil dan kukuh, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus, dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion.

Malaysia mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa, membuktikan dasar yang kerajaan laksanakan untuk terus mengukuhkan ekonomi negara adalah langkah yang tepat dan membuahkan hasil, katanya dalam catatan terbaharu di laman blog beliau, www.najibrazak.com disini, pada Isnin.

Selain daripada pencapaian ekonomi, Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan turut berkongsi pencapaian negara dalam bidang pelaburan asing, pembangunan, kualiti hidup, pendidikan dan banyak lagi.

Antara pencapaian tersebut ialah agensi antarabangsa PricewaterHouseCoopers telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-25 kuasa besar ekonomi dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$1.5 trilion (US$1 = RM4.26) menjelang 2030.

"Bank Dunia turut mengiktiraf ekonomi Malaysia dengan memberi semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi bagi tahun 2017 iaitu 4.9 peratus. Malah, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 dan 2019 turut diberi semakan semula lebih tinggi iaitu 4.9 peratus dan 5.0 peratus, peningkatan sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus masing-masing," katanya.

Baru-baru ini juga, katanya, laporan Bloomberg turut meletakkan Ringgit Malaysia sebagai mata wang utama Asia paling stabil pada suku ini.

Pada jam 6 petang Isnin, mata wang tempatan itu diniagakan pada 4.2965/2995 daripada 4.2920/2950 berbanding dolar US pada Jumaat lepas.

Mengenai FDI, Najib berkata, tahun ini juga menyaksikan banyak pelaburan langsung asing masuk ke dalam negara yang membuktikan keyakinan pelabur terhadap keteguhan ekonomi Malaysia.

"Jika pada tahun 2016, kita telah berjaya membawa masuk banyak pelaburan asing dari China hasil lawatan saya ke sana dengan pertukaran Memorandum Persefahaman perniagaan bernilai RM144 bilion, tahun 2017 menyaksikan lebih banyak pelaburan asing kita terima, bukan sahaja dari China, tetapi juga Arab Saudi, India serta banyak lagi," katanya.

Mengenai hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia buat pertama kalinya, Perdana Menteri berkata negara menerima pelaburan berjumlah RM31.08 bilion melalui syarikat Saudi Arabian Oil Company (Saudi ARAMCO) dalam Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang di Johor.

"Malah, selain daripada FDI, Baginda Raja Salman turut berkenan meningkatkan jumlah biasiswa pelajar Malaysia di Arab Saudi sebanyak 3 kali ganda, dan juga menambah kuota haji Malaysia daripada 27,900 kepada 30,200, Alhamdulillah," katanya.

Najib juga mengimbas lawatan beliau ke India yang menyaksikan 31 pertukaran Memorandum Persefahaman perniagaan bernilai RM158.4 bilion, dan juga pelaburan melalui Surat Hasrat berjumlah RM1.6 bilion serta kerjasama syarikat Malaysia dan India membabitkan pembangunan berjumlah RM141.4 bilion.

"Tetapi malangnya, walaupun ekonomi Malaysia menerima pengiktirafan badan penarafan antarabangsa, keyakinan pelabur luar, ada "pakar ekonomi" pembangkang yang masih beria-ia memburukkan ekonomi negara hanya untuk kepentingan politik peribadi," katanya.

Namun, katanya, walaupun serangan daripada pihak pembangkang itu, kerajaan akan terus mengusahakan yang terbaik buat semua rakyat Malaysia, dan dalam hal ini bermakna negara akan terus mengalu-alukan pelaburan asing selagi ia memberi tambah nilai kepada ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat.

Sementara itu, Najib juga menyentuh tentang diskusi dan perbincangan mengenai hala tuju masa depan negara untuk generasi akan datang melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Setakat 6 bulan pertama tahun ini sahaja, katanya, banyak forum, siri jelajah, perbincangan, perkongsian idea dan pendapat melalui media sosial telah adakan di seluruh negara.

"Insya-Allah, ini baru permulaan, akan ada lebih banyak perbincangan bagi kita mencorak masa depan yang diingini oleh mereka yang akan mewarisi negara ini daripada kita," katanya.

Kerajaan, kata Najib, juga amat mengambil berat tentang aspek pembangunan.

"Antara projek-projek utama InfraRakyat yang telah, sedang dan akan terus kita laksanakan adalah Lebuhraya Pan Borneo, Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur, dan sudah tentu, Mass Rapid Transit," katanya.

Dalam bidang pendidikan pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan kini berbangga Malaysia adalah lokasi di mana terletaknya 5 universiti dalam kalangan 300 terbaik dunia, iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

"Saya turut melancarkan Jelajah Pendidikan Bumiputera, di mana kita bertindak keluar mencari para pelajar Bumputera yang ingin belajar tetapi kurang berkemampuan bagi memastikan mereka memperoleh peluang sama rata untuk mengubah kehidupan mereka dan keluarga," katanya.

Menurut Najib, banyak lagi yang telah dikecapi negara, antaranya pewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital dan juga penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang akan menjaga dan memberi perlindungan kepada mereka sebagai permata dan pewaris masa depan negara.

"Alhamdulillah, kesemua pencapaian ini hanya mampu kita kecapi hasil usaha gigih dan tanpa lelah ramai dalam kalangan kita, daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi dan rakyat kesemuanya.

"Kita akan terus berusaha dengan lebih tekun lagi untuk meneruskan momentum kejayaan dan pencapaian ini, bukan sahaja untuk baki enam bulan tahun 2017 tetapi juga bagi tahun-tahun mendatang, Insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA