Ekonomi Sarawak dijangka berkembang empat peratus tahun ini seiring dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam keadaan kelembapan ekonomi global, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal negeri itu telah berkembang daripada RM119.1 bilion pada 2015 kepada RM121.4 bilion tahun lepas dan KDNK per kapita meningkat daripada RM44,100 kepada RM44,300 dalam tempoh yang sama.

Pertumbuhan positif itu, katanya, dipacu terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Menurut Abang Johari, bilangan pekerjaan juga meningkat daripada 1.0 juta pada 2015 kepada 1.2 juta pada 2016 dan bilangan kekosongan jawatan yang diwujudkan tahun lepas berjumlah 50,000 manakala kemiskinan berkurangan daripada 2.4 peratus pada 2012 kepada 0.9 peratus pada 2014.

"Negeri (Sarawak) konsisten mengekalkan penarafan kredit yang baik pada A- dengan prospek stabil oleh Moody's Investors Service, dan A3 dengan prospek stabil oleh Standard and Poor's.

"Penarafan kredit baik kita adalah disebabkan oleh pengurusan kewangan berhemat dan tadbir urus yang baik," katanya dalam ucaptama beliau di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Sarawak Keempat, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Abang Johari berkata dalam tempoh sembilan tahun lepas, Sarawak berada dalam senarai empat destinasi pelaburan utama di Malaysia, dan dalam tempoh dua tahun lepas, bergerak ke nombor dua pada 2015 dan nombor tiga pada 2016.

"Pencapaian ini bukan satu kebetulan, tetapi hasil daripada kepimpinan kukuh, perancangan dan pelaksanaan yang baik daripada kerajaan negeri," katanya.

Selain daripada insentif cukai yang disediakan oleh kerajaan persekutuan, negeri itu juga menawarkan tanah pada harga kompetitif dengan pembayaran yang fleksibel, serta tarif elektrik dan air yang rendah, katanya.

Sejajar dengan kelembapan ekonomi global, pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan Malaysia berkurangan pada 2016 dan dalam keadaan ini, jumlah pelaburan di Sarawak turun kepada RM4.7 bilion pada 2016.

"Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, negeri menerima cadangan pelaburan berjumlah RM8.4 bilion, tidak termasuk cadangan projek keluli AS$3 bilion dan projek metanol US$2 bilion di Bintulu.

"Ini merupakan satu petanda yang menggalakkan dan kami yakin lebih ramai akan datang ke Sarawak, terutamanya bagi industri berintensifkan tenaga," katanya.

Abang Johari berkata dengan adanya industri penggerak di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu seperti aluminium, feroaloi dan silikon polikristalin, telah meletakkan negeri ini di kedudukan yang baik untuk membangunkan kluster perindustrian.

Atas alasan ini, katanya, Sarawak kini menyasarkan industri tokokan nilai dan hiliran untuk menggunakan bahan mentah daripada industri penggerak sedia ada untuk membangunkan kluster perusahaan kecil dan sederhana bagi menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada industri sokongan dan sektor perkhidmatan terutamanya bagi pemain tempatan.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020), negeri itu telah meluluskan peruntukan RM20.0 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan selain itu, kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM24.6 bilion di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama dan Kedua (2016-2018).

Antara projek utama yang dilaksanakan di Sarawak ialah Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan kos RM16.5 bilion, Empangan Elektrik Hidro Murum (RM4.1 bilion), Empangan Elektrik Hidro Baleh (RM8.0 bilion), talian penghantaran elektrik (RM2.7 bilion), Pelabuhan Perindustrian Samalaju (RM1.8 bilion), dan Taman Perindustrian Samalaju (RM1.0 bilion).

-- BERNAMA