Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) yakin bahawa eksport halal Malaysia ke India akan mengatasi paras RM1.6 bilion dalam 2019 selepas meningkatnya permintaan untuk produk halal di negara tersebut.

Pengurus Bahagian Antarabangsa Mohammad Shukur Sugumaran ketika memetik perangkaan HDC Halal Datawarehouse System menjelaskan eksport halal ke India telah melonjak 12 peratus kepada RM1.59 bilion pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan yang kukuh.

"Eksport bahan-bahan halal menyaksikan kenaikan terbesar iaitu sebanyak 20 peratus kepada RM1.2 bilion pada 2018 berbanding hanya RM982 juta pada 2017.

Pembentangan itu dibuat bersempena dengan seminar halal sehari yang dianjurkan secara bersama oleh HDC dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Bertemakan, "Halal India: Lombong Emas yang Belum Diterokai", acara itu bertujuan mewujudkan kesedaran halal khususnya ke atas produk-produk halal Malaysia yang merupakan antara peneraju pasaran India.

Ia juga bertujuan untuk mewujudkan ruang pasaran di India bagi syarikat Malaysia, di samping mempromosikan negara ini sebagai destinasi penyumberan produk halal.

Acara ini merupakan kerjasama pertama antara HDC dan MATRADE di Chennai dan berjaya menarik 70 peserta pasaran tempatan.

Sementara itu, Mohammad Shukur juga menyeru agar perniagaan di India merebut peluang-peluang halal yang belum diterokai di negara ini, memandangkan India mempunyai penduduk Muslim yang amat besar iaitu kira-kira 180 juta.

"Angka tersebut adalah yang kedua terbesar selepas Indonesia, tetapi 80 peratus daripada permintaan pasaran untuk umat Islam di negara itu masih lagi belum dipenuhi," katanya.

Beliau menegaskan kebanyakan penduduk India mempunyai salah tanggapan mengenai konsep halal di mana mereka berpendapat bahawa ia adalah semata-mata mengenai penyediaan daging atau makanan dan minuman.

"Halal memberikan tawaran lebih dari itu, bermula daripada kosmetik kepada tekstil hingga ke produk farmaseutikal," katanya.

Oleh itu, beliau menyeru usahawan-usahawan India untuk melihat halal sebagai satu perniagaan yang serius, memandangkan di peringkat global, pasaran dijangka akan berkembang kepada AS$7.7 trilion menjelang 2030 daripada AS$2.8 trilion pada 2016 memandangkan penduduk Islam sedang meningkat di seluruh dunia.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Chennai, Muzzafar Shah Hanafi yakin India, yang mempunyai hubungan yang kukuh dengan banyak negara Islam, berkemampuan untuk menjadi satu kuasa penggerak dalam ekonomi halal global pada masa akan datang.

India mempunyai peluang halal yang amat besar untuk diterokai memandangkan ianya merupakan negara kedua terbesar daripada segi jumlah populasi Islam, ekonomi ketiga terbesar daripada segi kuasa membeli serta penduduk termuda dunia di mana lebih daripada 50 peratus rakyatnya berumur 25 tahun dan ke bawah.

"Saya percaya revolusi halal di India telah bermula memandangkan kita telah melihat peningkatan yang membanggakan dalam penyertaan syarikat-syarikat India dalam pameran perdagangan halal global sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

-- BERNAMA