Eksport Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan dua digit berbanding tahun pada Oktober 2017, peningkatan pada kadar pantas 17.9 peratus, menurut RAM Ratings Services Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata, sebahagian besarnya berasaskan jangkaan pemulihan pertumbuhan eksport ke Singapura dan Jepun, serta peningkatan kesan asas yang rendah pada Oktober tahun lepas.

Eksport bahan api mineral dijangka menyokong pertumbuhan eksport keseluruhan bagi beberapa bulan akan datang, menurutnya.

"Ini didorong oleh harga minyak mentah Brent yang kukuh secara ketara sejak September, yang sewajarnya mendorong harga eksport purata lebih tinggi, dan, seterusnya, pertumbuhan nominal eksport bahan api mineral," menurut agensi penarafan itu.

Mengenai pertumbuhan import, ia dijangka meningkat 20.2 peratus berbanding tahun pada Oktober, memandangkan hubung kaitnya yang kukuh sebagai faktor input utama bagi barangan dieksport dalam keadaan hubungan baik Malaysia dengan rantaian nilai global, menurut RAM Ratings.

Pada masa depan, agensi penarafan itu berkata, momentum tersebut dijangka menyederhana pada dua bulan terakhir tahun ini.

Keseluruhannya, RAM Ratings berkata, lebihan dagangan pada Oktober 2017 diunjur pada RM10.2 bilion.

"Ini susulan kesan asas yang tinggi pada tempoh yang sama sebelum ini dan unjuran penurunan aktiviti pengisian semula stok barangan elektronik, apabila keperluan inventori telah dipenuhi.

"Penyederhanaan itu adalah konsisten dengan peningkatan tempahan elektronik yang perlahan dari ekonomi utama seperti Jepun dan Taiwan.

"Oleh itu, kadar daya tahan aktiviti perindustrian dan peningkatan permintaan dunia dijangka terus menyokong peningkatan baik bagi eksport dan import, bagi tempoh baki tahun ini," menurut RAM Ratings.

-- BERNAMA