Eksport produk halal Malaysia berkembang kukuh bernilai antara RM4 bilion dan RM5 bilion setahun, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata eksport pada 2015 berjumlah RM39 bilion berbanding RM35 bilion pada 2014, peningkatan ketara daripada RM24 bilion pada 2011.

"Terdapat kenaikan kukuh sejak 2011 dan pertumbuhan tahunan antara RM4 bilion dan RM5 bilion adalah apa yang dijangkakan kerajaan.

"Pasaran eksport utama bagi produk halal selama ini ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia, Jepun dan Thailand," kata Mustapa pada sidang akhbar di Minggu Halal Dunia 2016, di sini, pada Rabu.

Sejak Selasa, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia mengatur sesi padanan perniagaan diatur, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), melibatkan 391 pembeli asing dari 40 negara dan lebih 600 syarikat berdaftar Malaysia.

"Bilangan pembeli 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas dan jualan awal yang dicatatkan bernilai hampir RM480 juta bagi pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman dan kosmetik," katanya.

Mustapa berkata, digabungkan dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), INSP menjadi tempat pertemuan tahunan penting bagi pemain halal antarabangsa.

Sebanyak 89 syarikat dari ASEAN dan 78 syarikat daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyertai MIHAS tahun ini, dengan Bulgaria dan Romania menyertainya buat pertama kali.

Minggu Halal Dunia diadakan dari 28 Mac sehingga 2 April, 2016, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.