Jumlah eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) dijangka melebihi RM300 bilion tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Nilai keseluruhan eksport dari sektor tersebut mencecah RM287.7bil tahun lalu menjadikan Malaysia pengeksport E&E ketujuh terbesar di dunia.

Mustapa berkata eksport E&E setakat sembilan bulan pertama tahun ini sudah pun mencecah RM251bil.

“Sektor E&E telah mengekalkan trend meningkat sejak tiga tahun lalu, menjadikannya industri yang mencatatkan lebihan dagangan untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya, di sini, hari ini.

Sektor E&E merupakan antara komponen terpenting sektor pembuatan dan eksport negara.

Menurut Bank Negara Malaysia, bagi suku ketiga 2017, eksport barangan E&E meningkat 21.7 peratus berbanding suku sama tahun 2016.

Sektor pembuatan dan eksport juga antara tunjang utama pertumbuhan negara, masing-masing meningkat 23.7 peratus dan 22.1 peratus pada suku ketiga 2017 berbanding suku sama tahun sebelumnya.