Emas sekali lagi menjadi perdebatan utama dalam kalangan pembuat dasar di peringkat global.

Malah, sudah tiba masanya untuk ekonomi global mempunyai satu alternatif terhadap dolar AS yang tidak menentu bagi membolehkan pelabur yang bijak dan sofistikated mengurangkan risiko tukaran mata wang dan melindungi portfolio aset mereka.

Menurut Ketua Ekonomi IQI Global, Shan Saeed, pelabur global yang peka dengan sejarah dan perkembangan ekonomi sentiasa mengutamakan kedudukan dua kelas aset iaitu hartanah dan emas.

Sebagai penyokong tegar sistem monetari dalam tempoh sebelum 1971 yang mengutamakan standard emas, Shan menyifatkan logam baharu itu sebagai wang sebenar yang telah terbukti mengekalkan nilai yang kukuh sejak lebih 100 tahun lepas.

Beliau turut merujuk pendirian para pemimpin global di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang mengukuhkan cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggunakan sistem emas bagi mengelak sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) berdasarkan kehendak dan kebijaksanaan negara maju itu.

"Ini amat tidak wajar. Pada pandangan saya, sistem monetari global perlu disemak semula dan berasaskan standard emas untuk beberapa tahun sebagai alternatif kepada dolar AS bagi memantau kecekapan dan kebolehterimaan dalam kalangan pemain pasaran, dan terutamanya kerajaan.

"Kedua-duanya iaitu dolar AS dan emas perlu seiring dan biarlah pembuat dasar atau bank pusat yang menentukan kaedah sistem monetari yang mereka lebih yakini dalam jangka panjang. Idea ini tidak harus dilihat barat sebagai tidak pragmatik kerana ia mengancam hegemoni dolar AS," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Shan berpendapat emas dan dolar perlu diberikan peluang yang sama rata di pasaran kewangan global dari segi kebolehterimaan.

Beliau turut menyifatkan sistem monetari emas sebagai pragmatik dan merupakan penyelesaian wajar dalam pergolakan pasaran kewangan semasa berikutan pelabur telah hilang kepercayaan terhadap dolar AS sejak pelaksanaan dasar bukan ortodoks diperkenalkan iaitu penurunan kuantitatif (QE).

Menurut Shan, selain Malaysia pemain utama yang menyokong emas termasuk China, Rusia, Turki, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Malaysia, Luxembourg, Iran, Qatar, Pakistan, Austria, Azerbaijan, Korea Selatan, dan Sri Lanka.

Mengulas selanjutnya, faktor yang mendorong emas untuk meraih sokongan daripada pelbagai kerajaan di peringkat global, Shan berkata ia didorong oleh nilai intrinsik, risiko kaunter parti, malah sejarah telah membuktikan bahawa emas boleh digunakan sebagai medium pertukaran.

Beliau berkata kenaikan berterusan emas pada masa ini telah memberikan keyakinan yang lebih besar dalam kalangan pemain utama pasaran.

Menurut beberapa laporan media kewangan seperti Economist, Wall Street Journal, FT University of Chicago Library, AS, harga emas adalah antara US$35 bagi setiap auns kepada US$850/oz, peningkatan sebanyak 2,328 peratus, ketika peningkatan yang berterusan mulai 1971-1980,

Peningkatan kali kedua berlaku pada 2001-2011 yang menyaksikan harga adalah antara AS$257/oz dan AS$1,923/auns (+648 peratus), manakala kenaikan ketiga bermula 2015 sehingga kini dengan harga bergerak antara AS$1,089/auns dan AS$1,477/auns dengan mencatat pertambahan sebanyak 36 peratus.

Shan menjangka emas akan kekal dalam portfolio aset bagi kebanyakan pelabur pada 2020 dan akan mengatasi logam berharga yang lain pada tahun depan.

"Emas akan diniagakan antara AS$1,500 dan AS$1,700/auns pada tahun depan dengan mengambil kira pelbagai pemboleh ubah eksogen misalnya pembelian oleh bank pusat, QE4 dan kadar faedah yang negatif, langkah Brexit yang tidak jelas, pilihan raya AS, prestasi pasaran yang tidak menentu dan keadaan Eropah yang bergelut. Emas adalah satu-satunya kelas aset yang sifar risiko antara pihak."

Beliau berkata kira-kira 43 negara daripada 195 negara di seluruh dunia yang mengalami ketidaktentuan politik dan sosial.

"Ia mewakili 22 peratus daripada seluruh negara. Ia terjadi kepada ekonomi di mana-mana sahaja apabila masyarakat tidak mempunyai makanan, tiada pekerjaan dan tiada tujuan hidup.. ia merupakan kesengsaraan yang tidak tertanggung.

"Kekacauan sosial adalah kajian kes bagi senario yang sebenar. Orang ramai akan memberontak apabila mereka lapar. Perkemaskan keadaan dan perbaiki sistem kemahiran kerana ekonomi global akan turun dan naik serta tidak boleh dijangka," katanya.

IQI Global adalah syarikat hartanah dan pelaburan terkemuka yang beroperasi dan menasihati pelanggan di Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, London, Melbourne, Bangkok, Makati, Toronto dan Dubai.

Shan mempunyai lebih 19 tahun pengalaman pasaran kewangan dalam bidang perbankan persendirian, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, jenama dan strategi perniagaan.

-- BERNAMA