Kumpulan Europlus Bhd mengumumkan terma konsesi utama projek Lebuhraya Pantai Barat, yang membabitkan pembangunan lebuh raya bertol dari Banting, Selangor, ke Taiping, Perak.

Anak syarikat 80 peratus milik Kumpulan Europlus, West Coast Expressway Sdn Bhd, menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 2 Jan lepas bagi melaksanakan projek yang menelan belanja RM6 bilion, yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Europlus berkata antara terma utama yang dipersetujui ialah tempoh konsesi akan dilanjutkan selama 10 tahun lagi jika persetujuan mengenai kadar pulangan dalaman (IRR) yang disasarkan tidak tercapai.

"Projek bina-urus-pindah itu dengan tempoh konsesi 50 tahun, mengikut pengiraan IRR sebenar ialah selama 49 tahun," katanya.

Kerajaan bersetuju menyediakan pinjaman sokongan kerajaan (GSL) pada kadar faedah empat peratus setahun, modal tahunan yang tertakluk kepada rundingan dan perjanjian berasingan yang akan dijalankan bersama Kementerian Kewangan.

"Sepanjang tempoh GSL, 70 peratus daripada lebihan perolehan akan digunakan untuk membayar semula atau pembayaran awal GSL.

"Selepas penyelesaian GSL, perolehan akan dikongsi bersama pada asas 30:70 antara kerajaan dan West Coast Expressway, jika sasaran IRR tidak tercapai," katanya.

Bagaimanapun, katanya jika IRR sebenar melebihi sasaran, perolehan akan dikongsi pada asas 70:30 antara kerajaan dan West Coast Expressway.

Kos pengambilalihan tanah untuk projek itu akan ditanggung oleh kerajaan manakala kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan oleh West Coast Expressway menerusi jawatankuasa tender, katanya.