Rangkaian media sosial, Facebook hari ini mengumumkan penubuhan pejabat operasinya di negara ini.

Pejabat operasi itu terletak di pusat komersial ibu negara, KL Sentral.

Timbalan Presiden bahagian Asia Pasifik Facebook, Dan Neary berkata penubuhan pejabat operasi itu bertujuan memudahkan perusahaan dan perniagaan di Malaysia memasarkan produk perniagaan mereka menerusi platform yang disediakan Facebook.

"Malaysia mencatatkan antara bilangan pengguna Facebook tertinggi di Asia Tenggara dengan kekerapan 18 juta pengguna setiap bulan.

"Sehubungan itu kami ingin menawarkan perkhidmatan pemasaran, pengiklanan dan capaian pengguna kepada perniagaan dan perusahaan di Malaysia supaya mereka dapat meraih peluang ini untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka," kata Dan Neary pada sidang media pelancaran pejabat operasi Facebook di ibu negara pada Khamis.

Timbalan Presiden Asia Pasifik Facebook, Dan Neary (Kiri) bersama Ketua Pengurus Facebook Malaysia, Nicole Tan (Kanan) pada, majlis pengumuman pembukaan pejabat Facebook Malaysia di Kuala Lumpur - Foto Astro AWANI/Nurulhana Ismail.

Pengguna di Malaysia juga katanya menghantar mesej Facebook kepada sesuatu perniagaan 50 peratus lebih tinggi berbanding purata global.

Ini menurut Neary, memberikan gambaran jelas kesalinghubungan melalui platform berkenaan di Malaysia sekaligus membantu segmen pemasaran bagi perniagaan.

Neary menambah, Facebook turut akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan di negara ini bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

"Mengikut statistik,secara purata 77 peratus pengguna FB di Malaysia mengikuti sekurang-kurangnya satu laman perniagaan, 94 peratus pengguna menemui produk dan perniagaan di FB serta rangkaian perkhidmatannya dan 62 peratus membuat keputusan pembelian selepas mengunjungi laman tersebut," ujar Neary.

Beliau berkata Facebook Malaysia akan menawarkan latihan serta platform sah khusus untuk perniagaan dan perusahaan menerusi khidmat 'Blueprint' nya tidak lama lagi.

Sementara itu pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pelantikan Ketua Pengurus Facebook Malaysia, Nicole Tan. Nicole sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah urusan agensi pengiklanan, J. Walter Thompson (JWT). Nicole mempunyai pengalaman 20 tahun dalam industri melibatkan teknologi, automotif dan barangan pengguna cepat laris (FMCG).