Peningkatan sentimen pasaran akibat daripada faktor luaran yang mendominasi tingkah laku pelabur merupakan antara punca utama yang menyebabkan pengaliran keluar modal asing dari negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata antara elemen utama yang mempengaruhi ialah pengukuhan dolar AS berbanding mata wang lain dan kenaikan pulangan bon dari Amerika Syarikat (AS) yang melebihi paras tiga peratus berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah.

"Selain itu ketegangan dagangan antara AS dan China mulai nampak kesan ekonominya ke atas negara China," kata Lim.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanyakan tentang punca mengapa pelabur asing dikatakan menjual saham bernilai RM1.05 bilion di Bursa Malaysia pada minggu lepas, pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini,

Menurutnya lagi, ketidakpastian hala tuju pasaran di Eropah yang membawa kesan tidak menentu di rantau ini selain tekanan ke atas pasaran minyak mentah dan ketegangan antara Arab Saudi dan AS turut mempengaruhi sentimen pelabur.