Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata selaku peneraju penerbangan tambang rendah, AirAsia akan terus memperjuangkan apa yang perlu bagi memastikan sektor penerbangan tambang rendah di Malaysia terus berkembang.

“AirAsia perlukan kos rendah, dan kami akan terus memperjuangkannya setiap masa. Jika anda lihat, kini ada peluang yang besar di Negeri Sembilan, ada peluang besar di Kuala Lumpur.

“Lihat apa Dubai dan Singapura telah lakukan dengan lapangan terbang yang besar. Beri kami lapangan terbang tambang rendah dengan kos yang rendah, dan kami yakin kami boleh mentransfomasi ibu negara menjadi destinasi transit membeli-belah transit dan juga pusat pejabat serantau di ASEAN,” katanya ketika ditemubual di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2016 di sini hari ini.

AirAsia sejak beberapa bulan dahulu terlibat dengan pertikaian bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkenaan penjenamaan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Antara pesawat pameran AirAsia di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough. - Foto Astro AWANI / Luqman Hariz

Isu tersebut mencapai kemuncak pada 22 Jun lalu apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan tiada sebarang perubahan nama bagi klia2.

Fernandes sebelum ini dilaporkan berkata, pertukaran nama klia2 kepada LCCT adalah perlu dalam usaha menjenamakan semula lapangan terbang itu sebagai hab tambang rendah Malaysia dan Asia.

Sementara itu MAHB pada masa yang sama menegaskan, ia sentiasa bersedia membantu inisiatif mempromosi sektor penerbangan tambang rendah tempatan.

“Berkenaan isu penamaan klia2, kami sentiasa komited mempromosikan semua jenis pelancongan dan penerbangan,” kata Datuk Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB ketika ditemu bual di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough.


“Ini sesuatu yang kami akan terus sokong, sama ada ia adalah AirAsia untuk penerbangan tambang murah, atau Malaysia Airlines bagi perkhidmatan penuh di KLIA, malah jika Malaysia Airlines mahu perkenalkan kategori tambang rendah di klia2 sekalipun, kami akan menyokongnya,” tambahnya.

Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz dilihat mengambil pendekatan yang lebih neutral ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

“Kita patut hentikan pertelingkahan berkenaan nama dan akronim. Ia akan sentiasa dikenali sebagai lapangan terbang di Kuala Lumpur.

Apa yang kami mahu lakukan adalah untuk terus bertumpu menjadi peneraju penerbangan tambang murah di Malaysia untuk terus menyaingi terminal kelas premium,” katanya.

‘Yang paling penting adalah jumlah pelancong’

Fernandes pada masa yang sama turut menyeru kepada kerajaan supaya tidak memperkenalkan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang disifatkannya sebagai satu langkah ke belakang.

“Kita perlu memaksimumkan kelebihan Malaysia, iaitu kos rendah untuk membawa masuk lebih ramai pelancong.

“Cuba lihat Dubai – mereka tidak memperkenalkan PSC sehingga tahun lalu. Dahulu Dubai hanya padang pasir. Kini? Mereka telah membina ekonomi yang besar,” tegasnya.

Beliau menambah, AirAsia kini sedang giat berbincang dengan semua pihak berwajib bagi meyakinkan mereka untuk tidak meneruskan rancangan ini.

“Jika anda lihat statisik, ia tidak masuk akal (untuk memperkenalkan PSC).

“Jangan bunuh sumber pendapatan kita dengan memperkenalkan PSC dan mengurangkan tarikan penerbangan tambang rendah Malaysia,” tambahnya.

Badlisham bagaimanapun berkata, sebarang keputusan berkenaan PSC tidak berada di bawah bidang kuasa MAHB.

“Sistem mengenakan cas ini adalah bidang kuasa kerajaan dan jika mereka mahu berbuat demikian, ia adalah hak kerajaan.

“Bagi kami, kami akan terus fokus terhadap operasi pentadbiran lapangan terbang yang baik,” katanya.

Hala tuju industri penerbangan global

Sementara itu ketika ditanya mengenai impak pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah (EU), Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Fabrice Bragier berkata industri penerbangan global cukup berdaya tahan untuk menampak impak Brexit.

“Apa sahaja yang kita percaya tentang Brexit, hakikatnya adalah industri pengangkutan udara tumbuh 6.5% di peringkat global tahun lalu; bagi 6 bulan pertama 2016, ia masih berkembang lebih 6%.

Pertunjukan Udara Farnborough berlangsung 11 Julai hingga 17 Julai 2016. – Foto Astro AWANI / Luqman Hariz

“Jadi tidak ada sebab untuk pertumbuhan industri penerbangan terencat. Kami amat positif tentang perniagaan kami walaupun Brexit mungkin telah membawa beberapa kesan kecil dan sementara kepada pelanggan kami”, katanya ketika menghadiri sidang media pengumuman pembelian pesawat A321neo oleh AirAsia.

AirAsia terdahulu mengumumkan pembelian 100 unit pesawat A321neo dari Airbus yang menyaksikan penjanjian berjumlah USD12.6 bilion dimeterai antara kedua-dua syarikat tersebut.


“A321neo adalah benar-benar sebuah pesawat yang hebat. Sebelum ini, kami mahu mendapatkannya lebih awal sebenarnya,” ujar Fernandes.

Fernandes menandatangani perjanjian pembelian A321neo bersama Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Airbus, Fabrice Bragier. – Foto Astro AWANI / Luqman Hariz

“Ia adalah satu lagi langkah besar ke hadapan untuk AirAsia dalam meningkatkan kebolehan jarak penerbangan dan juga peningkatan kerusi.

“Harga yang ditawarkan Airbus tidak dapat ditandingi. Ia akan membantu ‘resipi tambang rendah’ kami, tambahnya.

Pengumuman ini menyaksikan AirAsia mengekalkan statusnya sebagai pembeli pesawat siri A320 terbanyak di dunia.

Setakat ini, penyedia penerbangan itu telah membeli 575 unit pesawat siri itu dari Airbus.

Syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia

Tinjauan Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough bersama Astro AWANI

Sementara itu Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough turut menyaksikan AirAsia dinobat sebagai penyedia penerbangan tambang rendah terbaik dunia bagi 2016 oleh anugerah industri penerbangan global, Skytrax.

“Saya amat bangga dengan kakitangan AirAsia. Mereka tulang belakang syarikat ini. Itulah perbezaan antara kami dan banyak syarikat penerbangan lain.

“Sebagai contoh, tiada juruterbang wanita sebelum ini di AirAsia dan sekarang, seringkali kita mempunyai penerbangan yang mempunyai semua anak kapal wanita. Kami juga akan terus membuat pembaharuan, banyak lagi perkara boleh ditambah baik pada masa hadapan,” kata Fernandes ketika memberi reaksi mengenai kemenangan tersebut.

Kemenangan tersebut menyaksikan AirAsia menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang berjaya merangkul gelaran tersebut sebanyak 8 kali.

Ia memenangi anugerah sama pada 2007, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2015.

Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough berlangsung 11 Julai hingga 17 Julai 2016. – Foto Astro AWANI / Luqman Hariz

Fernandes berikrar bergerak ke hadapan, AirAsia akan terus memberi keutamaan kepada kualiti perkhidmatan pelanggannya.

“Kami tidak akan berehat walaupun kami telah menang untuk tahun ke 8, kami akan sentiasa cuba menjadi lebih baik dan lebih jujur, kerana kami tahu kami mampu mencapai piawaian yang lebih tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, syarikat itu juga kini sedang mempertimbangkan kemungkinan membuka semula laluan ke London.

“Mungkin akan dibuka semula pada suku keempat 2017 atau suku pertama 2018 selepas kami menerima pesanan pesawat A330neo dari Airbus,” katanya.

Tambahnya, AirAsia juga sedang meneliti kemungkinan untuk tersenarai di bursa saham Hong Kong dalam jangka masa sederhana.