Selepas lapan tahun FashionValet beroperasi dan berurusan dengan pelanggan menerusi laman sesawang, kini destinasi beli belah atas talian itu bakal mempunyai aplikasi sendiri.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif jenama itu, Vivy Yusof perkara berkenaan antara langkah yang diambil sebagai salah satu hala tuju baharu syarikat itu bagi tahun 2019.

Ia akan diperkenalkan kepada pelanggan-pelanggan setia FashionValet sebelum bulan Jun tahun ini.

“Terlalu banyak perubahan yang kita lakukan untuk tahun ini, perkembangan yang begitu laju buat kami. Jadi tahun ini aplikasi FashionValet akan keluar sebelum raya tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Vivy berkata pihaknya menawarkan perkhidmatan logistik iaitu pengambilan di stor, dan juga penghantaran di sekitar Lembah Klang pada hari yang sama dengan kadar percuma.

Ini jelas usahawan muda itu lagi, merupakan sesuatu kelebihan kepada peniagaannya, kerana perkhidmatan seumpama itu tidak ditawarkan oleh platform e-dagang yang lain.

Bercakap mengenai hala tuju baharu syarikat itu, Vivy berkata, FashionValet akan mengembangkan sayapnya ke negara-negara Timur Tengah.

“Ketika ini, FashionValet sedang dalam perancangan mempunyai sebuah pejabat baharu lengkap dengan gudangnya sendiri, bagi mengurangkan waktu menunggu para pelanggan di negara Timur Tengah,” katanya lagi.

Di majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Fashion Valet Fadza Anuar mengumumkan pelantikan Nadia Alisya Nor Zuhdy sebagai Pengurus Besar jenama itu yang baharu yang mana sebelum ini jawatan berkenaan disandang Fadza sejak penubuhan syarikat.