Berita  | Bisnes

Felda 2.0: Dua lagi tanah rancangan terpilih

Felda 2.0: Dua lagi tanah rancangan terpilih
Shahrir berharap langkah kerajaan itu dapat menggalakkan generasi kedua untuk tinggal dan terbabit dalam aktiviti ekonomi yang baharu di tempat sendiri. -Gambar fail
PEKAN: Dua lagi tanah rancangan Felda di Pahang bakal dibangunkan di bawah Program Felda 2.0 pada tahun ini selepas ia dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lurah Bilut pada 4 Feb lepas.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dua tanah rancangan itu terletak di bawah Wilayah Kuantan dan Jengka, namun tempat yang terpilih masih belum dikenal pasti.

“Pihak Felda kini sedang menunggu maklum balas daripada setiap pengurus rancangan di dua wilayah berkenaan dan mereka perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum terpilih mengikuti program ini.

Felda memilih Pahang sebab bilangan peneroka di sini paling ramai dan tanah rancangan juga paling banyak iaitu 115 daripada 321 kawasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Surat Hak Milik Tanah kepada 229 peneroka Felda Chini 3 dan 5 di sini hari ini.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Menurut Shahrir, setiap kawasan yang terpilih akan diberikan peruntukan RM10 juta daripada Felda dan RM10 juta lagi daripada kerajaan pusat bagi menaik taraf kehidupan dan kemudahan di kawasan itu.

Pada 4 Feb lepas, perdana menteri melancarkan Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut sebagai satu daripada inisiatif kerajaan untuk mentransformasi dan memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan Felda di negara ini.

Inisiatif baharu itu bukan sahaja memberi fokus untuk mewujudkan komuniti Felda yang pintar, mampan, dan berdaya tahan tetapi juga lestari dari segi ekonomi serta alam sekitar.

Dalam masa yang sama, Shahrir berharap langkah kerajaan itu dapat menggalakkan generasi kedua untuk tinggal dan terbabit dalam aktiviti ekonomi yang baharu di tempat sendiri.

“Mereka tidak perlu lagi mencari kerja di luar…tinggalkan orang tua di Felda dan mencari rezeki di tempat orang. Jika diperhatikan dalam setiap Felda ada lokasi dan produk unik yang boleh diketengahkan.

"Jadi saya minta agar pihak pengurusan Felda di negara ini bijak menaik taraf dan menggunakan kelebihan termasuk daripada aspek tarikan pelancongan bagi menambah pendapatan warga Felda sendiri,” katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata 87 peratus soal penyerahan surat hak milik tanah kepada peneroka Felda telahpun selesai dan selebihnya akan dilakukan secara berperingkat.