Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Lembaga Felda (Kumpulan Felda) sudah menarik balik sijil Prinsip dan Kriteria (P&C) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) di 58 kilangnya di sekitar Malaysia berkuatkuasa pada Selasa.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, kumpulan itu memberi jaminan akan kekal sebagai anggota RSPO dan meneruskan komitmennya kepada P&C RSPO.

"Kami secara sukarela menarik diri daripada sijil-sijil P&C RSPO bagi menangani isu kelestarian dalam rantaian bekalan kami. Namun kami kekal komited kepada P&C RSPO," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad.

Langkah itu bagaimanapun tidak akan melibatkan Sistem Pensijilan Rantaian Bekalan RSPO kilang penghancur biji sawit dan kilang penapis hiliran Kumpulan Felda dan FGV.

"Ia hanya melibatkan kilang-kilang huluan iaitu kurang satu peratus daripada hasil perolehan FGV," kata Zakaria.

Usaha itu juga, katanya, bertujuan membolehkan lebih banyak pensijilan inklusif antara ladang yang diurus secara komersial oleh FGV dan pekebun kecil.

"Di bawah pelan pensijilan semula berasaskan jangka masa, kami akan melakukan pensijilan semula terhadap kilang-kilang kami dalam masa tiga tahun. Para pekebun kecil juga akan meraih manfaat besar daripada program amalan perladangan terbaik," katanya.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan terbaharu dalam arena kelestarian, kumpulan itu melihat beberapa potensi risiko dalam rantaian bekalannya termasuk 102,100 ladang pekebun kecil di bawah Skim Peneroka Felda.

"Sehubungan itu, kami berhasrat melakukan beberapa perubahan struktur dalam pendekatan pensijilan RSPO kami dan mengkaji semula dasar tertentu," katanya.