Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) melaksanakan program latihan yang berstruktur, bersistematik dan disesuaikan dengan pihak berkepentingan utamanya untuk menambah baik produktiviti tenaga kerja dan amalan lestari lain dalam keseluruhan rantaian nilai minyak sawitnya.

Pihak berkepentingan tersebut termasuklah kakitangan Felda, peneroka Felda (pekebun kecil), pembekal tandan buah segar (FFB) pihak ketiga dan kontraktor FGV.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad dalam satu kenyataan hari ini berkata, latihan itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk bergerak seiring dengan perkembangan terkini dalam isu-isu lestari dan memacu perubahan di samping berusaha mencapai pertumbuhan jangka panjang bagi industri dan komuniti.

"Amat penting bagi kontraktor FGV untuk memulakan usaha kelestarian ini dengan syarikat bagi meraih manfaat untuk jangka masa panjang.

"Oleh itu, FGV telah menjalankan beberapa siri latihan kontraktor di Malaysia melibatkan lebih daripada 250 kontraktor bagi menambah baik amalan pengurusan tenaga kerja pada 2016 dan 2017," katanya.

Kontraktor dilatih mengenai amalan terbaik bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan menambah baik pentadbiran perkara berkaitan pekerja seperti kontrak pekerjaan, gaji minimum, peralatan perlindungan peribadi, perumahan dan kemudahan, insurans, pasport dan keperluan permit kerja, katanya.

"Peneroka Felda menyumbang sekurang-kurangnya 40 peratus daripada bekalan FFB FGV kepada 70 kilangnya yang terletak di seluruh Malaysia.

"FGV juga melatih pekebun kecil persendirian yang membekalkan FFB kepada kilang minyak sawitnya mengenai kualiti penuaian FFB dan amalan pertanian baik lain yang relevan," katanya.

Latihan yang disediakan kepada peneroka adalah bagi memastikan FGV dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terus bekerjasama dalam memastikan peneroka memperoleh pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari dan Minyak Sawit Lestari Malaysia dalam masa yang ditetapkan dan untuk memenuhi permintaan pasaran bagi minyak sawit lestari. -- Bernama