Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan wujudnya 'tangan ghaib' dalam kes melibatkan perniagaan anak-anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata demikian selepas Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad, berkata beliau mempunyai maklumat mengenai ‘wujudnya tangan ghaib’ dalam transaksi tersebut.

“Ya, kalau ada maklumat sebegitu, kita akan memanggil beliau dan kita ingin mendengar apa yang beliau ada tentang perkara ini sebab semua masyarakat mempunyai hak untuk memberi maklumat kepada SPRM dan kita mengalu-alukan maklumat-maklumat yang berunsur rasuah dan salah guna kuasa untuk disalurkan kepada SPRM bagi membolehkan kami membuat siasatan,” katanya dalam satu temuramah Buletin AWANI khas petang tadi.


BACA: FGV: 'Kami tidak suruh Zakaria berhenti' - Isa Samad

BACA: Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah ambil alih tugas Zakaria


BACA: Saham FGV turun 3.5 peratus susulan kemelut Lembaga Pengarah

Azam mangakui SPRM telah menerima beberapa aduan mengenai isu di FGV dari beberapa individu yang tidak boleh dinamakan.

“Kita hanya melihat kepada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa sahaja. Kes-kes yang bukan di bawah bidang kuasa kami, kami tidak akan jalankan siasatan.

“Berhubung dengan isu di FGV ini, saya ingin tegaskan bahawa siasatan kita akan lakukan secara telus dan professional, mengambil kira kesalahan-kesalahan yang ada, kalua ada,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak untuk tidak membuat spekulasi mengenai isu tersebut.

Apabila ditanya sekiranya Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad turut disiasat, beliau tidak memberikan apa-apa komen.

Sebelum ini, Isa mengesahkan bahawa pihaknya telah menyerahkan surat kepada Zakaria mengarahkan beliau bercuti serta merta.

Beliau berkata perkara ini berlaku kerana siasatan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP), sebuah anak syarikat FGV.

Isa dalam satu media khas yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI hari ini turutu mengesahkan bahawa satu Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah yang terdiri daripada dua pengarah FGV, Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim, bersama-sama dengan ketua kelompok logistik, Azman Ahmad, akan mengambil alih tanggungjawab untuk melaksanakan fungsi Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif.