FGV Holdings Bhd telah mewujudkan pelan tindakan bagi memastikan kesemua amalan syarikat pertanian dan komoditi pertanian itu yang membabitkan aspek tenaga kerja adalah sejajar dengan ketetapan piawaian buruh antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata Pelan Tindakan FGV 2020, yang sejajar dengan Persatuan Buruh Saksama (FLA), menekankan komitmen syarikat terhadap usaha pengambilan pekerja migran secara bertanggungjawab dan memperkukuh mekanisme berkaitan.

Ia juga bertujuan mengawal selia pekerja migran yang tiada dokumen di Sabah, mempertingkat sistem pemantauan dan mediasi semula selain menambah baik libat urus pihak berkepentingan.

"Pelan tindakan itu akan memaparkan usaha menyeluruh FGV untuk mempertahankan piawaian buruh antarabangsa dan menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

"FGV sememangnya serius dalam usaha melindungi hak dan kesejahteraan para pekerjanya termasuk kalangan pekerja migran, terutamanya dalam keadaan penularan COVID-19 di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Haris, terdapat lebih 30,000 pekerja migran yang berkhidmat di ladang-ladang FGV.

"FGV menghormati sepenuhnya hak mereka sebagai pekerja dan komited membayar gaji minimum serta memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk mereka," katanya.

Beliau berkata FGV menyertai FLA pada Oktober 2019 yang turut menjadi sebahagian daripada komitmennya terhadap hak asasi manusia dan usaha berterusan bagi mematuhi piawaian-piawaian buruh.

FLA merupakan sebuah persatuan antarabangsa yang menghimpunkan syarikat-syarikat, universiti dan pertubuhan sivil yang bertanggungjawab secara sosial dan bermatlamat menggalakkan serta melindungi hak asasi pekerja serta mempertingkat persekitaran kerja di serata dunia.

-- BERNAMA