Berdasarkan bilangan pemandu wanita dijangka mengatasi lelaki, badan profesional UK bagi industri permotoran, Institute of the Motor Industry (IMI), menggesa syarikat automotif mengambil lebih ramai wanita atau berisiko kehilangan perniagaan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, IMI berkata kajian yang dijalankan oleh IMI di United Kingdom (UK) menunjukkan bahawa 96 peratus daripada pemandu wanita mahu melihat lebih ramai wanita dalam bengkel kereta.

Matthew Stuart, Pengurus Kanan IMI Asia Tenggara, berkata fenomena ini tidak unik di UK malah di setiap pelusuk dunia.

"Oleh sebab bilangan pemandu wanita semakin meningkat, syarikat automotif wajar memahami perkembangan ini dan mengambil pekerja dan menggunakan kaedah yang tepat kaedah untuk melibatkan diri secara lebih berkesan dengan pelanggan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Tekat Automotive Academy (juga dikenali sebagai Auto Terminal Training Sdn Bhd) Prasanna Vanugopal berkata wujud salah faham bahawa latihan juruteknik adalah semata-mata untuk lelaki, yang jelas mewujudkan ketidakseimbangan jantina pelajar di akademi itu.

"Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah nampak perubahan minda secara beransur-ansur dengan lebih ramai wanita muda menunjukkan minat dalam latihan automotif," katanya.

Akademi ini mempunyai lebih 500 pelajar, dan sejak 2005, sejumlah 787 calon memiliki kelayakan automotif antarabangsa IMI.

IMI menawarkan lebih 300 latihan teknikal dan bukan teknikal dan akreditasi di 600 rakan latihan di lebih 13 negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, secara purata 1,500 calon dilatih setiap tahun di kolej komuniti, syarikat-syarikat automotif dan badan pendidikan.