Tutup

Berita  | Bisnes

Fitch sahkan penarafan Malaysia pada 'A-' dengan unjuran stabil

Fitch sahkan penarafan Malaysia pada 'A-' dengan unjuran stabil
Penarafan itu didorong oleh komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal - Foto AFP
KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada 'A-' dan 'A' dengan unjuran stabil.

Dalam satu kenyataan, agensi penarafan itu berkata penarafan itu didorong oleh komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal, kestabilan ringgit serta pertumbuhan rizab dan ekonomi yang lebih kukuh.
Fitch turut melihat unjuran ekonomi makro dalam ubahsuai bajet adalah realistik dengan harga minyak diunjur berlegar purata AS$30 ke AS$35 setong bagi 2016, sementara pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur tumbuh dalam lingkungan 4 ke 4.5 peratus.

Fitch turut menjangkakan nisbah hutang kerajaan persekutuan berbanding KDNK tumbuh sederhana sehingga 2017 di bawah had siling yang ditetapkan iaitu 55 peratus.
Kelemahan harga minyak mentah yang bermula pada Ogos 2014 selari dengan aliran keluar portfolio modal dan hutang dari Malaysia sekaligus member tekanan kepada kewangan luar, situasi yang kekal sepanjang tiga bulan pertama 2015.

Bagaimanapun, matawang dan rizab kembali stabil sejak September 2015 disebalik kejatuhan berterusan harga minyak.

Fitch menambah, kecairan luaran Malaysia melemah namun kekal selari dengan median rakan negara yang diiktiraf ‘A’ berkaitan pembayaran luaran semasa dan nisbah kecairan.

Fitch menjangkakan akaun semasa kekal dengan lebihan yang sederhana sehingga 2017.

Agensi penarafan itu turut menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar sekitar 4 peratus bagi 2016 dan 2017.