Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim menyuarakan keyakinan kerajaan akan menyelesaikan semua hutang dan komitmennya.

Muhammad menambah, sentimen pasaran dijangka pulih dengan selesainya isu syarikat pelaburan strategik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya yakin kerajaan akan penuhi semua tanggungjawab hutangnya. Juga dengan selesainya isu 1MDB, ia akan memulihkan sentimen pasaran," kata beliau pada Forum Kewangan Islam Global 5.0 (GIFF 5.0) di ibu negara pada Rabu.

Beliau membuat kenyataan berkenaan ketika ditanya berkenaan status pembayaran faedah AS$52.4 juta ke atas bon 1MDB bernilai AS$1.75 billion yang matang pada Mei 2022.

Pada bulan April, 1MDB telah mungkir pembayaran faedah ke atas bon matang Oktober 2022 bernilai AS$50.3 juta.

Kemungkiran tersebut turut melibatkan pertikaian dengan International Petroleum Investment Company, IPIC.

Sementara itu, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings dalam kenyataan pada Selasa yakin kesan kemungkiran faedah 1MDB pada April masih terkawal dan tidak menjejaskan penarafan Malaysia.

Fitch turut mengesahkan penarafan Malaysia pada 'A-/Stabil'