Gamuda Land Sdn Bhd dijangka mencapai sasaran jualannya sebanyak RM4 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ngan Chee Meng berkata projek akan terdiri daripada rumah dan pangsapuri perkhidmatan dalam pembangunan perbandarannya seperti Gamuda Gardens, Gamuda Cove dan twentyfive.7.

Sehingga suku kedua berakhir 31 Jan, 2019, Gamuda telah mencapai jualan sebanyak RM1.3 bilion.

Gamuda Gardens, yang kini siap 10 peratus, akan menyaksikan kediaman bertanah pertamanya siap dan diserahkan pada tahun depan.

“Projek dengan jumlah GDV sebanyak RM200-RM250 juta dalam Gamuda Gardens akan dibangunkan pada tahun ini dan kebanyakannya (hartanah) bertanah,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Skyline Enterprises dari New Zealand untuk membina kemudahan Skyline Luge luar bertaraf dunia.

Ngan berkata perjanjian dengan Skyline Enterprises dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Beliau berkata kemudahan tersebut, dilengkapi dengan Skyline Luge dan Skyline Zoom Ziplines, dibina di tapak seluas 30,000 meter persegi dalam perbandaran Gamuda Gardens.

“Kemudahan itu akan menjadi bahagian bersepadu Gamuda Gardens City Centre kami bernilai RM4.3 bilion, yang turut termasuk pusat beli-belah serantau dengan keluasan satu juta kaki persegi dengan elemen hiburan, penjagaan kesihatan, institusi pengajian, pawagam serta penawaran makanan dan minuman,” katanya.

Gamuda Land turut menandatangani perjanjian dengan beberapa rakan kongsi -- Beaconhouse International School, Arena Legacy, Ecocana Sports, 7-Eleven, Mr DIY, Petron dan Wedding By Emma -- untuk menyokong Gamuda Gardens sebagai pemangkin kepada pertumbuhan bagi utara Lembah Klang.

“Pertama, kita melihat peluang dalam populasi utara KL yang meningkat.

"Dengan 951,000 orang dalam radius 20 kilometer dari Gamuda Gardens, kami percaya kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini berdasarkan legasi kami dalam membangunkan bandar yang baik dan mampan,” katanya. -- Bernama