Cabang harta Gamuda Bhd, Gamuda Land Sdn Bhd, bekerjasama dengan sayap penyelesaian perniagaan Telekom Malaysia Bhd (TM), TM ONE, bagi pelaksanaan perkhidmatan telekomunikasi tertumpu di projek hartanah Gamuda.

Kedua-dua syarikat menandatangani perjanjian kerjasama strategik itu semalam bagi menyediakan perkhidmatan di Precinct 1, Precinct 2 dan Gaia Residences, pangsapuri perkhidmatan pertama di Gamuda Gardens.

Dalam satu kenyataan hari ini, TM berkata menerusi kerjasama itu, kira-kira 1,500 unit kediaman di Gamuda Gardens akan dilengkapi perkhidmatan Internet 100 Mbps berkelajuan tinggi Unifi percuma selama dua tahun.

Naib Presiden TM Selangor Datuk Zuraidah Mohd Said berkata rangkaian dan perkhidmatan infrastruktur bersepadu itu akan mengupayakan aplikasi rumah pintar, bandar pintar dan komuniti pintar untuk penduduk, yang membolehkan mereka menikmati gaya hidup yang lebih hebat, keselamatan, kestabilan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup.

"Dalam persekitaran digital bersambung, penggunaan perkhidmatan pintar akan membuka jalan bagi pembangunan bandar pintar.

"Dengan keupayaan kami yang sudah terbukti di TM, kami berhasrat membantu pemaju hartanah dan majlis-majlis tempatan di seluruh negara menyelesaikan cabaran di kawasan bandar dari segi mobiliti dan pengangkutan, keselamatan, kemampanan alam sekitar dan sosial serta perkhidmatan awam, yang boleh dicapai menerusi TM ONE, penyelesaian pintar yang menyeluruh," katanya.

- BERNAMA