Pemaju hartanah, See Hoy Chan Sdn Bhd, menjangka membuka gedung membeli belah komunitinya di Damansara Uptown yang dipanggil 'The Starling' pada akhir November 2016, dengan nilai pembangunan
kasar kira-kira RM600 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joe Tan, berkata gedung membeli belah itu yang juga dikenali sebagai 'Gedung dalam Taman', sudah 90 peratus siap dengan kadar penghunian telahpun mencapai 85 peratus.

"Kami menjangka kadar itu mencecah 90 peratus semasa pembukaannya nanti.

"Buat masa ini, kami memiliki 95 penyewa. Makanan dan minuman merangkumi 35 peratus daripada penyewa, fesyen (20 peratus), hiasan rumah (10 peratus) dan selebihnya pasar raya dan hiburan," katanya kepada pemberita selepas majlis mengumumkan penyewa The Starling, di sini, pada Isnin.

Antara penyewanya ialah Baskin Robbins, Starbucks Coffe, Sushi Zanmai & Shojikiya, The Teh Tarik Place, Sasa, Padini Concept Store, Daiso, Popular dan MBO Cinema.

The Starling dengan keluasan 42,000 meter persegi itu akan menampilkan gedung membeli belah lima tingkat yang dikelilingi dengan landskap hijau.

Tan berkata gedung itu dibina bagi menyediakan kepada kemudahan pelanggan.

"Ia akan mempunyai sistem aliran trafik yang dinaik taraf tidak lama lagi bagi melancarkan aliran trafik di Damansara Uptown.

"Berhubung dengan masalah meletak kereta di Damansara Uptown, sejumlah 6,758 parkir kereta akan disediakan sebaik sahaja semua kerja pembangunan siap.

"Kami juga akan membuka parkir di tingkat bawah tanah menara pejabat semasa hujung minggu bagi kegunaan orang awam," katanya.

Mengulas mengenai persaingan sengit, beliau berkata, gedung itu dijangka mencatatkan prestasi baik memandangkan terdapat kira-kira 20,000 golongan pekerja di kawasan sekitar dengan anggaran kira-kira 8,000 pengunjung setiap hari. -- BERNAMA