Bagi menyokong usaha-usaha badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan perusahaan sosial atau (social enterprises), Kementerian Kewangan menjalankan inisiatif kerjasama dengan Yayasan Hasanah menerusi Geran Yayasan Hasanah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, geran tersebut diberikan untuk membantu golongan B40, komuniti Orang Asli, orang kelainan upaya (OKU) dan berkeperluan khas terutamanya yang terkesan COVID-19.

Menurut Zafrul, sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 42 projek yang diluluskan di bawah geran ini berjumlah RM7.6 juta memanfaatkan 115,000 individu di seluruh negara.

Katanya, di antara projek yang telah diluluskan termasuklah oleh Komuniti Belia Selangor yang berusaha membimbing 20 orang OKU untuk mengembangkan perniagaan dan membantu mereka berdikari.

Tidak ketingglana, Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo untuk memulihara 42 beruang matahari yang diselamatkan dan sedang direhabilitasi untuk kembali ke hutan di Sandakan Sabah juga menerima manfaat.

"Tanoti Sdn Bhd, sebuah perusahaan sosial yang berpusat di Sarawak bertujuan memperkasakan 50 lelaki dan wanita dari komuniti B40 untuk menjahit topeng muka yang akan dibekalkan kepada semua murid sekolah awam di daerah Kota Samarahan.

"Sahabat Alam Malaysia yang beroperasi di Perak, Pulau Pinang dan Melaka untuk mewujudkan rantaian bekalan bagi membolehkan 60 nelayan menjual ikan tangkapan terus kepada pengguna dan juga menyokong 77 petani di 2 kampung di Baram dan Marudi, Sarawak untuk mempelbagaikan hasil pertanian mereka bagi meningkatkan pendapatan mereka," katanya ketika menyampai laporan Laksana ke-15 pada Selasa.

Bagi Matlamat 2 Prihatin di bawah tema "Sokong Perniagaan", Zafrul memaklumkan, sehingga 24 Julai lalu, sebanyak RM8.97 bilion Subsidi Upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.58 juta pekerja.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam masa sama telah memuat naik nama–nama majikan yang telah menerima bantuan PSU.

Tindakan ini diambil berikutan aduan diterima daripada orang ramai bahawa terdapat segelintir majikan yang mengambil subsidi tetapi masih memberhentikan atau memotong gaji pekerja tanpa persetujuan.