Kerajaan mengingatkan pihak pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) agar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik atau berdepan tindakan tegas termasuk ditamatkan kontrak perkhidmatan mereka.

Sehubungan itu, tegas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi pengurusan syarikat berkenaan dari semasa ke semasa.

"Sekiranya mereka (pengurusan syarikat GLC dan MKD) gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik, kita tidak akan menyambung kontrak mereka," katanya sewaktu berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Segamat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kenangan, Batu Anam dekat sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Segamat merangkap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Ketua UMNO Bahagian Segamat Zahari Sarip.

Bercakap pada sidang media kemudiannya, Johari turut mengingatkan GLC dan MKD supaya memastikan bahawa tadbir urus syarikat itu mampu mendatangkan manfaat dari segi keuntungan, faedah serta menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Selain itu, mengulas pembentangan Bajet 2017 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober depan, Johari berkata Perdana Menteri sentiasa memberi penekanan terhadap keperluan rakyat peringkat bawahan biarpun Malaysia turut merasai kesan kelembapan ekonomi dunia.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran pembentangan bajet oleh Najib yang juga Menteri Kewangan.