Penggabungan antara Grab dan Uber di Asia Tenggara dijangka dapat memacu syarikat dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

Ini adalah pencapaian terbesar bagi Grab, syarikat yang ditubuhkan kurang dari enam tahun lepas, ke arah mencapai matlamat untuk menjadi platform penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing (e-panggilan), fintech dan penghantaran makanan utama di Asia Tenggara.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata syarikat perlu meningkatkan kedudukan di setiap peringkat untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan ini menunjukkan komitmen syarikat yang mengutamakan keperluan pelanggan dan rakan kongsi pemandu adalah tepat.

"Kami mengharapkan gabungan ini dapat memacu pengalaman yang lebih baik untuk komuniti pemandu dan penumpang kami, dan dengan lebih tumpuan kepada pekerjaan dan pemandu yang ada, kami menjangka dapat menyaksikan masa menunggu yang lebih singkat dan pengambilan yang lebih cepat.

"Ini bermakna produktiviti yang lebih baik untuk pemandu kami, dan kebolehpercayaan yang lebih baik untuk penumpang kami," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Goh berkata pengguna Uber yang baru akan dapat memanfaatkan ciri-ciri unik seperti 'GrabRewards' untuk penumpang dan 'Better365' dan 'GrabAllStars' untuk rakan kongsi pemandu.

"GrabRewards memberikan pengalaman dan perjalanan pengguna kami dengan lebih baik. Sementara itu, program Better365 dan GrabAllStars kami membolehkan rakan-rakan pemandu kami menikmati faedah, sokongan dan peluang yang lebih baik untuk berinteraksi dengan rakan-rakan melalui 'Teh Tarik Sessions' dan 'Drivers Town Halls'.

"Mengenai masa depan, kami akan terus menuju ke arah tahap pertumbuhan seterusnya - memberi khidmat kepada rakyat Malaysia dalam semua keperluan harian mereka, sama ada untuk menumpang, membayar, atau memperoleh lebih banyak lagi untuk keluarga mereka.

"Hari ini, kami telah menyediakan perkhidmatan kepada lebih 90 juta pengguna di Asia Tenggara dan memperkasa lebih daripada lima juta usahawan mikro - rakan kongsi pemandu, peniaga dan ejen - di seluruh rantau ini untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan.

"Kini kami juga akan memperluas platform GrabFood kami dengan pantas untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk kurier dan penghantaran restoran serta memberi perkhidmatan kepada komuniti mereka dengan lebih banyak cara," katanya.

Grab adalah platform pengangkutan dan pembayaran mudah alih terkemuka di Asia Tenggara, menyelesaikan cabaran pengangkutan kritikal untuk menjadikan kebebasan pengangkutan menjadi kenyataan bagi 620 juta orang di Asia Tenggara.

Buat masa kini, Grab menawarkan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.grab.com.

-- BERNAMA